Pengarah syarikat perabot didakwa minta, terima rasuah hampir RM13 juta - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat perabot didakwa minta, terima rasuah hampir RM13 juta

TEO WEE CHENG (kanan) didakwa atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM13 juta di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat perabot didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan program Jana Wibawa berjumlah RM12.875 juta antara Julai 2021 hingga November tahun lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Datuk Teo Wee Cheng, 65, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi pertuduhan pertama dan kelima,  Wee Cheng yang juga Pengarah SSH Furniture Sdn. Bhd., didakwa meminta rasuah, masing-masing RM3.975 juta dan RM7.4 juta, iaitu 10 peratus daripada harga sebenar projek menaik taraf jalan di bawah Jana Wibawa.

Tertuduh didakwa membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn. Bhd., bagi mendapatkan projek dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, Segamat serta bersetuju melantik Syarikat TS Dynamic Contruction Sdn. Bhd., sebagai sub kontraktor bagi projek dari Jalan Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, Sedili, Kota Tinggi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Trimetro Development Sdn. Bhd., Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Mei hingga Jun 2022.

Bagi tujuh pertuduhan lain, bapa kepada empat anak itu didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta sebagai upah membantu kedua-dua syarikat sama mendapatkan projek tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat miliknya di Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 hingga 15 November 2022.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 16(a)((A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau suapan atau RM10,000, yang mana-mana lebih tinggi.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Cains Tan.

Hakim membenarkan Wee Cheng diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya