KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor menegur dua ahli parlimen pembangkang dan kerajaan kerana ‘bersembang’ ketika salah seorang wakil rakyat bertanya soalan tambahan semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dua ahli parlimen itu ialah Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (Pas) dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (DAP).
Belum sempat Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran menghabiskan soalan tambahannya, pembesar suaranya dimatikan kemudian Ramli menegur kedua-dua pemimpin berkenaan.
“Yang Berhormat (YB) Batu duduk sekejap…YB Pendang dan YB Bagan ada mesyuarat ke dalam ni (Dewan Rakyat)? Jika mustahak, minta YB bincang di luar. Kita beri perhatian kepada YB Batu,” katanya dalam nada tegas.
Prabakaran sebelum itu dalam soalan tambahannya bertanya kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil jika kerajaan berhasrat memberi saluran kepada anak-anak luar bandar untuk menggunakan media sosial untuk menghasilkan karya-karya kreatif. – UTUSAN










