Pelancongan kesihatan mampu raih pendapatan lebih RM100 juta - Utusan Malaysia

Pelancongan kesihatan mampu raih pendapatan lebih RM100 juta

MOHD. AZLAN ABD. JALIL (tengah) bersama pemain industri yang hadir pada Program Latihan Perubatan dan Pelancongan Kesihatan Johor di Hotel Millesime Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Tourism Johor menjangkakan sektor perubatan dan pelancongan kesihatan di negeri ini akan terus mengukuh dan mampu mengatasi rekod pencapaian pendapatan RM100 juta yang direkodkan sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Timbalan Pengarahnya, Dr. Mohd. Azlan Abd. Jalil berkata, sektor itu semakin berkembang dengan mencatatkan pertambahan pengunjung yang tertarik untuk mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan di negeri ini yang mengenakan caj yang murah.

Beliau menjangkakan kira-kira 10,000 pelancong, khususnya dari Indonesia, China, India, Vietnam dan Korea Selatan akan berkunjung ke negeri ini bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di hospital swasta yang bertaraf antarabangsa.

“Sebelum pandemik melanda, kita pernah merekodkan pendapatan kira-kira RM100 juta dan pada tahun lalu kita mencatatkan pendapatan kira-kira RM80 juta.

“Kita percaya perkhidmatan sokongan yang ditawarkan pada tahun ini, kita mampu mencatatkan rekod pendapatan tertinggi melebihi RM100 juta menerusi sektor perubatan dan pelancongan kesihatan ini,” katanya pada Program Latihan Perubatan dan Pelancongan Kesihatan Johor, di sini hari ini.

Sasaran itu mampu dicapai kerana negeri ini mempunyai tujuh hospital swasta dan 42 fasiliti kesihatan.

Penyediaan perkhidmatan hotel kesihatan dan menyediakan feri tambahan di Puteri Harbour, dekat sini khusus untuk membawa pelancong dari Indonesia dijangka mampu melonjakkan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.

“Pelancong Indonesia daripada Kepulauan Riau merupakan salah satu daripada kumpulan sasar kita yang mempunyai potensi besar, kedudukannya juga terletak berhampiran dengan Johor. 

“Kemudahan feri dengan perjalanan terus dari Batam ke Puteri Harbour, Iskandar Puteri mampu menarik minat pelancong Indonesia meneroka peluang mendapatkan perkhidmatan perubatan di Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya