BACHOK: Kebebasan bersuara buat pelajar universiti dan institusi pendidikan di negara ini terutamanya untuk mengkritik mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan tidak boleh diluahkan sesuka hati.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Pertubuhan Pembangunan dan Latihan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pernando Muslim, 22, berkata, keterbukaan yang diberi perlu dimanfaatkan tanpa membangkitkan sensitiviti kaum dan agama seperti yang ditegaskan Perdana Menteri.
Menurut beliau, kritikan dan teguran oleh pelajar perlu berlandaskan fakta dan mesti membina serta bebas daripada pengaruh kepartian.
“Kritikan perlu bersifat teguran yang membina dan bukan untuk menjatuhkan kepimpinan atau mencari aib individu untuk dicanang,” katanya semalam.
Sementara itu, Naib yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK Anis Aini Shahrir berkata, ketelusan itu membolehkan pelajar IPT menyalurkan gagasan dan idea sebagai sebahagian daripada sumbangan untuk pembangunan negara.
Katanya, pelajar juga sebahagian daripada rakyat yang turut mengundi untuk kepimpinan negeri dan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Satu pendekatan baharu yang lebih memandang ke depan selain menghargai peranan pelajar universiti dan institusi pendidikan.
“Malah, merupakan langkah baik dalam usaha membuka minda kepada pelajar untuk memahami amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kesemua universiti dan institusi pendidikan di negara ini diarahkan supaya memberi kebebasan bersuara kepada pelajar terutamanya boleh mengkritik mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dan kerajaan.
Anwar berkata, hasratnya itu telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan bersuara itu tidak harus disalahgunakan oleh pelajar untuk memberikan pandangan melampau sehingga boleh mengancam keharmonian negara.- UTUSAN










