KUALA LUMPUR: UMNO sudah melakukan perubahan drastik termasuk memecat pemimpin yang melanggar disiplin parti selain meletakkan fokus kebersamaan dalam semua ahli bagi menjamin tiada perpecahan lagi selepas ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, meskipun dianggap tindakan itu menjauhkan parti daripada orang ramai, namun ia adalah perlu dan tindakan berkenaan antara lima hala tuju parti yang digariskan untuk kekal lebih kukuh dan relevan dalam dunia politik hari ini.
“Apa yang nak berubah? Pembersihan dalam UMNO itulah perubahan yang UMNO lakukan. Kita tidak mahu ada perpecahan dalaman parti yang lebih teruk seperti yang berlaku pada tahun 50-an di mana wujudnya Pas dan 1987 yang wujudnya Semangat 46.
“Jadi itu langkah awal kita supaya UMNO terus kekal bersama dan tidak berpecah. Takkan kita nak biarkan orang yang langgar disiplin ini berada dalam parti lagi?
“Bantai UMNO sewaktu berkempen? Dalam keadaan parti sedang crucial, boleh bantai parti berkali-kali dan terpampang di dada akhbar. Kita nak biarkan? Jadi ini perubahan yang terdekat oleh UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa UMNO melakukan perubahan drastik agar parti itu tidak terpisah dengan kehendak rakyat terutama golongan muda selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Justeru, tegas bekas Perdana Menteri itu, pucuk pimpinan UMNO perlu merangka strategi bermula sekarang atau parti akan berdepan risiko disingkir terus oleh rakyat selama-lamanya.
MEMECAT
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, langkah pembersihan dalam UMNO dengan memecat Khairy Jamaluddin adalah tindakan tepat meskipun ramai berpandangan yang beliau mempunyai nilai tambah kepada parti.
Sambil menolak dakwaan tindakan pemecatan itu akan menjauhkan parti daripada anak muda, jelasnya, pelbagai strategi sedang dirancang sekali gus menegaskan yang parti itu tidak menggunakan taktik kotor untuk ‘membeli’ orang muda di saat akhir.
“Orang muda ini kita ada rancangan dan strateginya, ada empat tahun setengah lagi nak PRU. Kadangkala perancangan itu boleh datang pada saat-saat akhir. Macam orang muda sebelum ini pun, pergi kepada satu parti secara last minute sebab apa? Sebab duit,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, antara perubahan lain yang dilakukan adalah kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan.
Katanya, parti itu tidak boleh memilih kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan UMNO hilang 74 kerusi asal pada PRU lalu. UMNO hanya memperoleh 26 kerusi.- UTUSAN










