Pas ramal kerjasama PH dan BN bakal cetus konflik

Pas ramal kerjasama PH dan BN bakal cetus konflik

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas meramalkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan konflik dari segi pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu berdasarkan kepada pengalaman Pas yang pernah bekerjasama dengan BN sebelum ini.

“Pengalaman kita dengan UMNO sebelum ini, dia mahu kerusi banyak dan sebab itu kita tidak boleh bekerjasama dengan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Dia (UMNO) mahu jadi ‘abang besar’ dan saya jangka suasana yang sama juga akan berlaku di antara mereka (PH-BN) terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai UMNO,” katanya selepas diminta mengulas mengenai kerjasama di antara PH dan BN pada PRN nanti ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd. Amar memberitahu, kerjasama di antara dua gabungan itu sudah dijangka sejak awal lagi selepas UMNO mengambil keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Kita memang sudah bersedia untuk menghadapi keadaan tersebut (kerjasama PH-BN) kerana ia memang dalam jangkaan kita.

“Cuma pada PRN kali ini, persaingan akan menjadi lebih sengit kerana kita perlu berhadapan dengan pertandingan dua penjuru berbanding tiga penjuru sebelum ini dan kita perlu bekerja lebih kuat,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN