Pakar rumah Singapura: Niat kerajaan suci - Kor Ming   - Utusan Malaysia

Pakar rumah Singapura: Niat kerajaan suci – Kor Ming  

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang diminta tidak berprasangka buruk terhadap keputusan kerajaan membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi berkongsi kepakaran dalam sektor pembinaan perumahan di Malaysia.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan akan memberikan yang terbaik bagi menjaga kepentingan semua pihak termasuk bumiputera dengan melihat kejayaan HDB membina lebih satu juta unit perumahan sosial mampu milik yang dipercayai boleh menjadi contoh buat  Malaysia. 

“Kita bukan sahaja belajar dari Singapura, kementerian juga sedang cuba menimba ilmu dari Turkiye tentang pembangunan wakaf sebagai satu usaha memajukan negara membawa pembangunan pada semua pihak tanpa mengira kaum. 

“Saya nasihatkan, tak tumbuh tak melatah, tak sungguh orang tak kata, yang penting kita harus bersangka baik, kedua-dua pihak terus bekerjasama,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan daripada DAP itu berkata, tidak ada salahnya untuk Malaysia belajar dari negara lain demi kepentingan rakyat contohnya Jepun, walaupun negara itu pernah menjajah negara ini. 

MISKIN

“Kita yang penting, perlu bersangka baik, bukan bersangka buruk. Niatnya adalah suci. Biar kita miskin harta, jangan miskin minda. Jika kita boleh belajar daripada sebuah negara yang menjajah kita, apa salahnya kita belajar daripada negara jiran ASEAN yang berjaya, termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand,” katanya. 

Kor Ming berkata demikian menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) sama ada terdapat kerajaan negeri yang menggunakan pakar perumahan HDB dan kejayaan yang dicapai, selain kesan kepada pemilikan tanah bumiputera, khususnya Melayu serta kemampuan mereka membeli rumah yang dibina.

Sebelum ini, Kor Ming mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.

Langkah itu adalah antara komitmen kementeriannya untuk memberi tumpuan khusus kepada sektor perumahan, selain menyatakan kesediaan untuk mempelajari dari negara lain. 

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat, keputusan kerajaan itu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Ia disebabkan pemilikan hartanah terutamanya dalam kaum Melayu semakin mengecil.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya