Kerajaan ambil iktibar masalah sistem selenggaraan pada LRT

MRT2: Kerajaan ambil iktibar masalah sistem selenggaraan pada LRT – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook (dua kiri) melihat ruang kerusi roda yang disediakan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) ketika mengadakan lawatan kerja di Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya di sini, hari ini. Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kerajaan mengambil iktibar daripada setiap kejadian dan masalah yang berlaku sebelum ini melibatkan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) supaya tidak berlaku kepada sistem perkhidmatan aliran deras (MRT) Fasa Dua. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan akan memberi lebih penekanan terhadap sistem MRT2 dan pengangkutan awam lain bagi meminimumkan jangkaan masalah melibatkan aspek penyelenggaraan.  

“Itu sebab daripada hari pertama lagi, kerajaan memberi penekanan kepada penyelenggaraan sedang diubah dan perbincangan akan diadakan dengan pihak Prasarana bagi membincangkan dengan lebih lanjut bagaimana untuk membudayakan satu penyelenggaraan yang lebih telus,” katanya pada sidang akhbar semasa lawatan kerja kementerian itu di Depoh MRT Sungai Buloh hari ini.

Pagi tadi, beliau mengadakan lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya bermula daripada stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa, sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, kerajaan merancang menjadikan Titiwangsa di bahagian utara pusat bandar sebagai hab pengangkutan awam utama bagi projek MRT2 Laluan Putrajaya kerana stesen itu menjadi stesen pertukaran untuk monorel, LRT Laluan Ampang dan MRT3 yang bakal dibina. 

“Kawasan ini adalah hab pengangkutan awam dan ada rancangan untuk membangunkan kawasan ini. Pada mulanya (pembesaran stesen) ini dirancang bersama pembinaan MRT3, tetapi saya beritahu MRT Corp mungkin kita perlu melihat perkara ini dan melakukannya lebih awal, sebelum pembinaan (MRT3),” katanya.

Selain itu, katanya, jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mac ini dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun akan datang. 

Katanya, MRT2 Laluan Putrajaya yang menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan kos sistem kini siap 99.9 peratus selain berharap dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.

“Untuk tempoh satu hingga dua tahun, kami harap ia dapat cecah 200,000 penumpang harian, itu memang harapan kami, tetapi seperti mana-mana perkhidmatan MRT atau LRT ia akan mengambil masa untuk capai sasaran itu.

“Seperti MRT1 Laluan Kajang, kita bermula dengan jumlah yang rendah tetapi kemudian ia telah mencecah kira-kira 200,000 sekarang. Ia ambil masa kira-kira dua tahun untuk capai jumlah itu,” katanya. 

Pengoperasian penuh MRT Putrajaya Fasa 2 juga akan memudahkan orang ramai dan pesakit Hospital Kuala Lumpur mendapatkan rawatan menerusi pembukaan stesen di hospital tersebut yang turut dilengkapi kemudahan laluan gerak atau walkalator sepanjang 400 meter.

Sebanyak 107 bas pengantara disedia bagi menyokong perkhidmatan MRT2 dalam menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut.

Kementerian juga akan meneliti pelbagai pendekatan bagi menambah baik sistem batuan pertama dan akhir termasuk cadangan memperkenalkan perkongsian kenderaan dengan kerjasama syarikat e-hailing, bagi mengoptimumkan perkhidmatan tersebut dengan harga tambang lebih murah.

Ditanya berkenaan status terkini MRT3, beliau berkata, pihak sedang menunggu kelulusan projek dan penganugerahan tender daripada Kementerian Kewangan. 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya