Larangan jualan petrol RON95, diesel subsidi kepada kenderaan asing di Perlis

Larangan jualan petrol RON95, diesel subsidi kepada kenderaan asing di Perlis

SHAMSUL Nizam Khalil (dua dari kanan) memberi advokasi kepada pemandu kenderaan yang mengisi minyak bagi memaklumkan tentang pelaksanaan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing di seluruh negeri Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing di seluruh negeri ini berkuatkuasa, hari ini.

Penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan isu kenderaan bernombor kenderaan asing yang mengambil kesempatan mengisi bahan bakar itu untuk diseludup ke Thailand.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, bagi menjayakan usaha itu, pihaknya telah melaksanakan advokasi ke atas 40 pengusaha stesen minyak termasuk stesen minyak tanpa subsidi bermula 27 Januari lalu.

“Advokasi ini adalah untuk memberi penerangan berhubung arahan larangan penjualan RON95 dan diesel bersubsidi kepada kenderaan asing termasuk motosikal di seluruh Perlis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia pada 26 Januari lalu.

“Selain stesen minyak, advokasi turut diberikan kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing di laluan pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Wang Kelian dan Padang Besar dengan mengedarkan 250 Notis Amaran,” katanya selepas Majlis Perasmian Pembukaan Stesen Minyak Shell di Titi Tinggi di sini hari ini.

Hadir sama bagi menyempurnakan perasmian itu adalah Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar.

Sebelum ini, kebanyakan kenderaan bernombor pendaftaran asing hanya dibenarkan mengisi minyak diesel bersubsidi dengan jumlah maksimum sebanyak 20 liter sahaja.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, kenderaan bernombor pendaftaran asing boleh membeli petrol RON95 dan diesel dia dua stesen minyak tanpa subsidi di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar dan Kampung Wang Kelian.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ke atas mana-mana pihak yang melanggar arahan dikeluarkan setelah tamat tempoh advokasi selama 14 hari,” katanya.

Di samping itu, Shamsul berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak lima kes telah direkodkan membabitkan isu penyeludupan bahan bakar subsidi itu dan daripada jumlah itu, tiga kes telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

Tambahnya, KPDN akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan secara berkala ke atas semua stesen minyak seluruh Perlis.

“KPDN akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak lain bagi membantu pelaksanaan arahan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya