KLUANG: Mengukuhkan dan memartabatkan golongan wanita menjadi teras perjuangan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain untuk menawarkan diri bertanding sebagai Exco Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan parti kali ini.
Beliau yang turut mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang yang disandangnya sejak 30 tahun lalu mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk memartabatkan lagi golongan wanita di negara ini, khususnya di Johor dan Kluang
Menurutnya, apa yang sudah dilakukannya sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian dan Exco Wanita UMNO Malaysia sebelum ini banyak memberikan impak kepada Wanita UMNO di Kluang dan usaha itu perlu diteruskan serta diperkasakan lagi.
“Dalam pada itu, barisan kepimpinan Wanita UMNO Bahagian Kluang pada masa ini dianggotai oleh golongan muda dan sentiasa melakukan pembaharuan dalam setiap gerak kerja parti.
“Apabila adanya gabungan ini, bukan sahaja golongan muda namun peringkat wanita veteran juga akan mampu didekati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md. Amin yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian bagi membawa pembaharuan.
Hasratnya untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kluang yang disandang oleh Datuk Md. Jais Sarday untuk menjenamakan semula parti itu di peringkat akar umbi.
“Pembaharuan perlu berlaku melibatkan pentadbiran parti, gerakan mendekati serta menangani masalah rakyat, gerak kerja memenangi hati orang Melayu agar kembali bersama UMNO dan banyak lagi,” katanya.
Md. Norhalim yang juga Ketua Whips Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mula menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun 2013, manakala Md. Jais menerajui bahagian tersebut sejak 2008. – UTUSAN










