KPKT lancar Inisiatif Hijau Cameron Highlands - Utusan Malaysia

KPKT lancar Inisiatif Hijau Cameron Highlands

AKMAL NASRULLAH Mohd. Nasir (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang peserta pameran pada majlis pelancaran Inisiatif Hijau Cameron Highlands di Cameron Highlands, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melancarkan Inisiatif Hijau Cameron Highlands untuk merawat sisa organik daripada dibuang ke tapak pelupusan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Inisiatif Hijau Cameron Highlands merupakan inisiatif khas dilaksanakan di kawasan peranginan itu yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Menurutnya, destinasi tanah tinggi terkenal ini menjadi tumpuan lebih setengah juta pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun bagi menikmati keindahan persekitaran dan kehijauan di negara ini.

“Objektif utama pelaksanaan Inisiatif Hijau Cameron Highlands adalah untuk merawat sisa organik daripada dibuang ke tapak pelupusan.

“Menurut rekod dianggarkan sebanyak 800 tan metrik pengeluaran sayur- sayuran sehari di Cameron Highlands dan sebanyak 30 tan sisa sayur-sayuran tersebut berakhir di tapak pelupusan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Inisiatif Hijau Cameron Highlands di sini hari ini

Akmal Nasrullah berkata, SWCorp sudah pun bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) melalui Kerajaan Tempatan Bandar Kitakyushu bagi melaksanakan penambahbaikan pengurusan sisa pepejal dalam menjayakan projek pengkomposan sisa organik di Cameron Highlands.

Pihak JICA juga katanya, sudah mengumbangkan dua unit mesin kompos berkapasiti dua tan sehari bagi pelaksanaan projek ini di Cameron Highlands yang bermula 2019.

Menurutnya, sepanjang projek ini dijalankan dari 2018 hingga kini, dianggarkan 804 tan metrik sisa organik sudah dikutip di kawasan Cameron Highlands manakala bagi penghasilan produk akhir baja kompos sebanyak 75 tan metrik baja kompos terhasil daripada aktiviti pengkomposan sisa organik dan sisa makanan tersebut.

Tambah beliau, SWCorp juga sudah menjalinkan kerjasama strategik bersama Persatuan Hotel Malaysia (Pahang Chapter) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands.

“Kerjasama ini melibatkan pengumpulan sisa makanan dari hotel-hotel sekitar Cameron Highlands dan sisa organik dari kebun-kebun sayuran dibawah penjagaan Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands selain beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam projek ini,” katanya.

Sehubungan itu tegas beliau, fokus utama KPKT melalui SWCorp adalah untuk mencapai kadar 40 peratus sisa dilencongkan daripada tapak pelupusan pada 2030 iaitu mengurangkan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula.

Menurut beliau, selain itu melalui pelaksanaan inisiatif hijau ini, Malaysia diharap berjaya mencapai kadar 45 peratus pengurangan jejak karbon menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya