Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong - Utusan Malaysia

Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

Batang Kali
NG Suee Lim dalam sidang akhbar dekat Bangunan Annex di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengisytiharkan kerusi N07 Batang Kali kosong berkuatkuasa 28 Januari lalu apabila penyandangnya Harumaini Omar dilucutkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selepas didapati tidak hadir enam bulan berturut-turut persidangan dalam Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada 2022.

Ng Suee Lim berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu didapati melanggar Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 apabila tidak mengemukakan sebarang permohonan atau menyatakan sebab kepada Speaker.

Beliau menjelaskan, perisytiharan dibuat selepas mendapat ulasan daripada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri berdasarkan persidangan dewan yang diadakan pada 14 hingga 21 Mac, 25-29 Julai, 1-2 Ogos, 23-30 November, 1-2 Disember dan 5-6 Disember.

“Penyata rasmi buku kedatangan ADUN menunjukkan Harumaini didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan penggal daripada 23 November hingga 6 Disember

“Berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran, tarikh akhir kehadiran Harumaini ke persidangan dewan adalah pada 27 Julai 2022. Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Batang Kali
HARUMAINI OMAR

Justeru berdasarkan perisytiharan tersebut Harumaini hilang kelayakan sebagai seorang wakil rakyat dan ADUN serta tidak boleh menghadiri sidang dewan yang akan berlangsung pada 13 Mac ini.

ADUN Sekinchan itu menambah, berdasarkan tempoh itu juga menerusi peruntukan di bawah Perkara 69, tempoh ketidakhadiran Harumaini adalah melebihi enam bulan.

“Maka pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Harumaini adalah kosong berkuat kuasa dari 28 Januari 2023,” jelasnya.

Jelas Suee Lim lagi, beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat untuk memaklumkan pengosongan kerusi DUN Batang Kali.

Untuk makluman, Harumaini yang merupakan anggota Parti Bersatu bertanding di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR sebelum partinya berpisah keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudian menyertai Pejuang dengan meninggalkan Bersatu pada 2020.

Pada PRU14, beliau bertanding dalam pertembungan tiga penjuru menentang Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan daripada Barisan Nasional dan Mohd. Hasnizan Harun (Pas) dengan memperoleh majoriti sebanyak 21,536 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya