JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyatakan komitmen dan akan memberi kerjasama terbaik kepada kerajaan Persekutuan bagi menjayakan semua inisiatif di Johor yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Sambil menyambut baik, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi banyak manfaat kepada rakyat.
“Johor menzahirkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, daripada empat menjadi enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.
“Selain itu, kerajaan Persekutuan juga bersetuju menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang menerusi pembinaan lorong memotong di Senai-Desaru Expressway.
“Sudah pasti dengan pelebaran laluan utama ini akan meningkatkan kesalinghubungan yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, malah hubungan sesama rakyat dari dalam dan luar Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, rancangan tebatan banjir di enam lokasi yang turut melibatkan Sungai Johor di Kota Tinggi juga akan melalui proses tender semula selewat-lewatnya Jun tahun ini bagi mengatasi banjir.
“Tidak ketinggalan, cadangan memperkukuhkan pembangunan Iskandar Malaysia menerusi pewujudan zon khas kewangan, dengan pakej imbuhan bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.
“Sementara itu, pengumuman tentang kerja awalan bagi menaik taraf 26 buah hospital di seluruh negara, termasuk pembesaran Hospital Pontian yang telah berusia hampir seabad juga akan meningkatkan aspek perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Dalam pada itu, pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bahru yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) juga akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada pengguna,” katanya.
Onn Hafiz berharap setiap projek dan inisiatif yang direncanakan itu akan dapat dijayakan demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan Bangsa Johor. – UTUSAN