Jadikan pejuang Bukit Kepong sebagai suri teladan - Kumar - Utusan Malaysia

Jadikan pejuang Bukit Kepong sebagai suri teladan – Kumar

M. KUMAR menyerahkan sumbangan kepada salah seorang waris pejuang Bukit Kepong pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Sambutan Hari Polis ke-216 di Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pasukan polis di negeri ini disaran menjadikan pejuang Bukit Kepong sebagai ‘role model’ atau suri teladan dalam menzahirkan semangat mereka yang sanggup berkorban demi menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, sifat patriotik dan cintakan negara telah dibuktikan wira-wira terdahulu yang seharusnya dijadikan contoh teladan oleh generasi muda, khususnya pasukan polis apabila sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

“Pejuang terdahulu sangat berani apabila menyerahkan soal hidup mati di tangan Tuhan. Benarlah kata azimat ini, ‘berpantang maut sebelum ajal’ demi mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.

“Perjuangan generasi kita pada hari ini mungkin tidak sehebat pejuang-pejuang terdahulu yang terpaksa bermandi darah dan berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

“Walau bagaimanapun, kita jangan pernah ambil mudah kerana setiap peredaran zaman menjanjikan cabaran yang berbeza,” katanya pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Sambutan Hari Polis ke-216 di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini hari ini.

Kumar berkata, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan meningkatkan ilmu dalam bidang kepolisan selain berani mendepani cabaran mendatang.

“Semoga PDRM akan terus gagah berdiri megah di bawah kibaran Sang Saka Biru demi memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.

“Saya berharap agar kita terus mengenang tragedi Bukit Kepong sebagai satu peristiwa yang membakar semangat juang kita demi  mempertahankan setiap inci bumi berdaulat ini daripada dinodai oleh petualang negara.

“Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini adalah hasil pengorbanan wira-wira negara yang terdahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya