Identiti tiga individu maut nahas di Port Dickson dikenal pasti - Utusan Malaysia

Identiti tiga individu maut nahas di Port Dickson dikenal pasti

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat tiga individu yang maut dari sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Port Dickson petang tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Identiti tiga individu iaitu dua wanita dan seorang remaja lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Port Dickson di sini petang tadi telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketiga-tiga mereka dikenali sebagai R. Mogana, 35, ; M. Pangaja Valli, 51 dan S. Jagannath, 16.

Ujar beliau, ketiga-tiga mereka merupakan penumpang belakang kereta Toyota Camry yang terlibat dalam nahas dengan sebuah kereta pacuan empat roda, Toyota Hilux itu.

Menurut beliau, tiga lagi penumpang kereta tersebut iaitu, pemandu, S. Shanmugam, penumpang hadapan, S. Thibankumar, 23, dan seorang lagi penumpang belakang, L. Vinisha mengalami kecederaan patah tangan dan tulang rusuk.

Jelas Aidi Sham, mangsa yang maut iaitu, Mogana merupakan isteri kepada pemandu kereta manakala Pangaja Valli dan Jagannath merupakan ibu dan adik kepada penumpang hadapan iaitu Thibankumar.

“Lebih kurang pukul 1.30 petang telah berlaku kemalangan maut melibatkan sebuah kereta Toyota Camry yang dinaiki empat orang lelaki dan dua wanita yang semuanya berasal dari Ampang, Selangor dengan sebuah kereta Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki.

“Toyota Hilux telah melanggar bahagian belakang kereta Toyota Camry menyebabkan tiga penumpang belakang kereta Toyota Camry tersebut maut di lokasi kejadian. Tiga lagi yang menaiki kereta yang sama mengalami kecederaan manakala pemandu Toyota Hilux yang merupakan lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan ringan.

“Ujian saringan alkohol dan air kencing menunjukkan keputusan pemandu bebas alkohol dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham menambah, semua mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan manakala pemandu telah ditahan di Balai Polis Trafik Port Dickson bagi siasatan lanjut.

“Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya