KOTA BHARU: Hubungan diplomatik antara China dan Malaysia yang terbentuk sejak 49 tahun lalu kekal kukuh hasil kepercayaan politik antara kedua-dua negara.
Menteri Kedutaan China ke Malaysia, Tang Rui berkata, kepercayaan itu membuka ruang yang lebih luas dalam membentuk kerjasama dalam pelbagai aspek sekali gus memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
“Hubungan diplomatik yang telah lama terbina ini sekali gus menampakkan betapa pentingnya perkongsian kepentingan antara kedua-dua negara.
“Ini termasuklah bagi negeri Kelantan sendiri yang telah mempunyai hubungan diplomatik dengan China sejak era Dinasti Hang lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Pelajar-Pelajar B40 di sini hari ini.
Rui memberitahu, pertukaran budaya dan pelancongan turut melengkapkan lagi keakraban hubungan diplomatik ini antara masyarakat.
Katanya, kedua-dua aspek itu mampu membina komuniti China-Malaysia yang saling berkongsi masa depan cemerlang.
“Menjadi harapan saya agar pemahaman hubungan persahabatan China-Malaysia diperluas kepada generasi muda dan kekal diwarisi dari generasi ke generasi.
“Mari kita bekerjasama untuk mendorong kerjasama strategik China-Malaysia ke peringkat lebih tinggi agar membawa lebih manfaat bagi kedua-dua negara dan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN