LANGKAWI: Fenomena ‘laut terbelah’ di Pantai Tanjung Rhu, di sini yang berlaku sejam bermula pukul 6.45 pagi, kelmarin dan 7.15 pagi semalam menarik kira-kira 3,000 pengunjung.
Fenomena dari air surut penuh itu menyebabkan beting pasir sepanjang kira-kira 600 meter terbentuk yang membolehkan pengunjung berjalan kaki sehingga ke Pulau Kelam Baya yang biasanya hanya boleh diakses menggunakan bot.
Tinjauan mendapati, kawasan parkir terbuka berdekatan dengan pantai tersebut sudah dipenuhi pengunjung seawal pukul 6.50 pagi dan ada pengunjung yang meletakkan kereta sejauh hampir dua kilometer bagi merasai peluang berjalan kaki di atas beting pasir tersebut.
Menurut pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 58, pada tahun ini, lebih ramai pengunjung datang menyaksikan fenomena tersebut berbanding tahun lalu.
“Kelmarin ada kira-kira 1,000 orang pengunjung yang datang untuk berjalan di atas beting pasir ini, dan hari ini (semalam) jumlah itu menjadi dua kali ganda. Pengunjung juga dapat melihat pelbagai hidupan laut seperti pena laut, tapak sulaiman dan pelbagai karang laut yang biasanya hanya boleh dilihat melalui aktiviti selam skuba,” katanya.
MENYULUH
Seorang pemilik bot pelancong, Shahzazilawati Shahdan, 46, berkata, dia membantu menjaga parkir seawal pukul 5 pagi dengan menyuluh lampu bagi memudahkan pengunjung mencari tempat meletak kereta kerana kawasan tersebut tidak mempunyai lampu.
“Saya ada tempahan bot bagi lawatan ke paya bakau pada pukul 8 pagi dan saya datang awal bagi mendapatkan parkir kerana semalam ada kira-kira 500 buah kereta memenuhi kawasan ini seawal pukul 7 pagi,” katanya.
Seorang pengunjung, Umira Morad, 33, berkata dia pertama kali datang melihat beting pasir walaupun tinggal di Ayer Hangat yang tidak jauh daripada kawasan pantai tersebut.
“Saya bawa sedikit bekalan makanan untuk berkelah di atas beting pasir tersebut bersama anak-anak yang turut datang untuk melihat beting pasir ini. Kebetulan fenomena ini terjadi semasa cuti persekolahan, jadi dapatlah anak-anak melihat sendiri,” ujarnya.
Selain itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut bertugas menjaga keselamatan pengunjung di situ dan terdapat bot pelancong yang disediakan untuk membantu pengunjung yang menghadapi masalah.- UTUSAN











