Empat termasuk pegawai penguat kuasa didakwa terima rasuah - Utusan Malaysia

Empat termasuk pegawai penguat kuasa didakwa terima rasuah

EMPAT lelaki termasuk dua yang masih bertugas sebagai pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat lelaki termasuk dua yang masih bertugas sebagai pegawai penguat kuasa di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi melindungi peniaga yang berniaga tanpa lesen sah antara tahun 2017 hingga 2020.

Kesemua tertuduh, Mohd. Azmi Mohd. Hashim, 41, Azman Halidin, 55, Khairil Rizal Mahtar, 45, dan Arfizi Mustaffa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mohd. Azmi dan Khairil Rizal masih bertugas di MPPD berdepan satu pertuduhan manakala Azman telah bersara dan Arfizi yang telah ditamatkan kontrak didakwa atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah meminta dan menerima satu suapan iaitu wang berjumlah antara RM300 hingga RM800 daripada peniaga buah jambu, kedai cuci kereta dan daging panggang sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang meniaga tanpa lesen pasar malam sah selain tiada lesen penjaja bergerak dan sokongan mendapatkan lesen perniagaan.

Ketika kejadian Mohd. Azmi bertugas sebagai Pembantu Kesihatan Awam U24, Khairil Rizal Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U32, Azman sebagai Pembantu Penguatkuasa KP26 dan Arfizi Pembantu Kesihatan Awam Gred U19.

Kesalahan itu dilakukan antara bulan Oktober 2017 sehingga September 2020 di beberapa lokasi sekitar Port Dickson iaitu di Pasar Malam Lukut, Jalan Seremban, Kampung Sri Parit, Lukut, Pejabat Bahagian Penguatkuasaan MPPD dan sebuah bank.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama. 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali tiada bantahan jika kesemua tertuduh ditawarkan jaminan.

Mohd. Azmi, Khairil Rizal dan Arfizi tidak diwakili peguam manakala Azman diwakili peguam, Royston Tan Chun Tat.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Azmi dan Khairil Rizal diikat jamin RM8,000 seorang manakala Azman dan Arfizi RM10,000 seorang berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Port Dickson sebulan sekali sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 29 dan 31 Mac depan.

Sementara itu, seorang peniaga pasar malam, Wong Lai Huat, 63, dijatuhi hukuman denda RM7,000 selepas mengaku bersalah menerima suapan RM150 daripada seorang peniaga pada Mei 2019. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang tengah telah menerima bayaran daripada peniaga terbabit yang tidak mempunyai lesen sah untuk diserahkan kepada pegawai MPPD supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. 

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 itu dilakukan di Pasar Malam Lukut, Pekan Lukut, Port Dickson.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.