Dua sahabat didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata - Utusan Malaysia

Dua sahabat didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata

AHMAD Rifdi A. Rahman (kiri) dan Zainal Abidin Mohd. Ghafar (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman di Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di bandar Chukai pada 2 Februari lalu. 

Tertuduh, Zainal Abidin Mohd. Ghafar, 39, yang merupakan pengusaha pusat snooker dan Ahmad Rifdi A. Rahman, 25, pekerja pusat mencuci kenderaan mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd. 

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjata ke atas seorang lelaki berusia 20 tahun di Kedai G7 Mart, Kubang Kurus, Chukai di sini kira-kira pukul 1.30 pagi dengan melarikan sebuah telefon bimbit, modem Wifi milik syarikat, wang tunai milik kedai kira-kira RM7,000, dua kotak rokok, beg galas milik mangsa yang mengandungi kad bank, kunci rumah dan kereta serta wang tunai kira-kira RM250. 

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan jenayah yang sama ke atas lelaki berusia 35 tahun pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan merompak wang tunai bernilai RM300, sebuah telefon bimbit dan beg silang mengandungi lesen memandu, kad pengenalan dan kad bank.

Pertuduhan ketiga pula, kedua-dua tertuduh juga pada masa, tarikh dan lokasi yang sama didakwa merompak seorang lagi lelaki berusia 19 tahun dengan melarikan dua buah telefon bimbit, wang tunai kira-kira RM800 dan beg silang mengandungi kad pengenalan dan kad bank.

Kesemua pertuduhan ke atas kedua-kedua tertuduh adalah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen dan membenarkan kedua-kedua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM15,000 iaitu RM5,000 seorang bagi setiap pertuduhan. 

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu, tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan serta tidak boleh mengganggu pihak pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan. 

Kes dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S H Sahul Hamid dan tertuduh diwakili peguam bela, Rozilawati Mat Hassan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya