Dua anak Jasin mahu juarai suara anak muda

Dua anak Jasin mahu juarai suara anak muda

DR. MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri UMNO Datuk Khaidirah Abu Zahar berkongsi matlamat yang sama mahu menjuarai suara anak muda dan mengembalikan keyakinan rak­yat terhadap parti itu.

Kedua-duanya yang kebe­tu­lan merupakan pemimpin sa­yap parti UMNO Bahagian Jasin antara calon yang akan bertan­ding merebut jawatan di Pusat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Muhamad Akmal yang juga ADUN Merlimau berkata, beliau tidak sangka dirinya dan Khaidirah secara kebetulan membuat keputusan mempertaruh nasib untuk jawatan di peringkat pusat.

Katanya, meskipun berlainan sayap, tetapi mereka dilahirkan daripada keluarga besar UMNO dan mempunyai matlamat sama iaitu mahu menjuarai suara anak muda dan ingin mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Saya pun tidak sangka, tetapi ini bukan dirancang dan berlaku secara kebetulan. Bagaimanapun saya dan beliau yang mendukung agenda perjuangan parti dan berhasrat mengangkat dan terus memperjuang suara anak muda supaya mendapat perhatian serta pembelaan kerajaan di samping mengetengahkan pembaharuan idea dalam parti,” katanya.

Khaidirah yang ketika ditemui akhbar ini minggu lalu berkata, kehadiran dua anak Jasin memperlihatkan bahagian itu mempunyai pelapis kepe­mimpinan yang diyakini untuk membawa bahtera pada masa depan.

KHAIDIRAH ABU ZAHAR

Justeru itu, beliau berharap gandingan beliau dan Dr. Muhamad Akmal dapat membawa agenda perubahan kepada anak muda sekali gus berupaya memikat hati mereka agar kembali kepada UMNO.

Kelmarin, Dr. Muhamad Akmal membuat kejutan bertan­ding sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan berbanding sebelum ini menyatakan hasrat untuk tidak bertanding jawatan berkenaan.

Ketika ditanya mengapa membuat keputusan mengejut itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka tersebut menjelaskan, beliau memutuskan demikian setelah wujud kekosongan kerana Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan yang sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda mahu bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Ini keputusan diri saya sendiri setelah berbincang de­ngan rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal memberitahu, beliau mahu mengubah gaya kepimpinan Pemuda UMNO agar tidak lagi beretorik dan mampu bukan sahaja memperjuang isu-isu setempat tetapi menyuarakan isu-isu global.

“Pemuda UMNO mesti menjuarai isu perubahan cuaca, kelestarian alam dan persiapan menuju negara tua. Ini antara kelainan akan diangkat oleh saya jika terpilih sebagai Ketua Pemuda,” jelasnya.

Namun beliau masih meng­anggap sebagai calon ‘underdog’ sehingga keputusan rasmi pada 11 Mac walaupun pelbagai pihak menyifatkannya berpotensi menang kerusi jawatan Ketua Pemuda kerana rekod cemerlang sebagai ADUN Merlimau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN