PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar menawarkan diri sebagai calon Ketua Puteri UMNO kerana ingin mengembalikan aura taring sayap UMNO seperti awal penubuhannya suatu ketika dahulu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, beliau mengambil langkah tersebut kerana mahu mengangkat dan memperjuangkan suara anak muda supaya mendapat perhatian serta pembelaan kerajaan di samping mengetengahkan pembaharuan idea dalam Puteri.
Malah katanya, beliau berazam mahu menjadikan Puteri sebagai platform utama politik anak muda sekali gus berupaya menarik pengundi muda untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Mengapa saya tawar diri? Pertama saya sendiri bermula daripada Puteri. Keduanya mengapa tawar diri, kerana ini adalah penggal terakhir sebelum 40 tahun, jadi ini peluang saya bertanding sebagai Ketua Puteri.
“Kita mahu mengangkat banyak isu melanda anak muda sekali gus menjadi rujukan kepada kerajaan sehingga sampai ke tahap ramai yang akan merujuk kepada Puteri. Selain itu, saya mahu memantapkan Puteri kerana pergerakan ini sering kali menerima stigma ‘adik bongsu’ ‘wanita muda’ ‘lemah lembut’, tidak salah ada kelembutan namun kita perlu ada ketegasan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain Khaidirah, terdapat nama lain yang dijangka menawarkan diri sebagai calon Ketua Puteri antaranya ialah Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan; Exco Pergerakan Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr Masliha Harun.
Ditanya peluang untuk menang, Khaidirah atau lebih dikenali sebagai Dira berkata, beliau yakin mampu memenangi jawatan tersebut.
“Kalau kita nak masuk bertanding, kita mesti yakin menang. Kalau tidak yakin, tidak payah masuk. Insya-Allah, niat kita baik untuk memastikan kelangsungan Puteri.
“Sebab dalam banyak-banyak parti politik yang benar-benar ada struktur sayap dalam wanita muda, hanya UMNO ada platform Puteri, jadi sayang kalau kita tidak pastikan kemenjadian itu menjadi lebih baik,” katanya.
Dira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, Puteri UMNO mempunyai banyak potensi jika digembleng usaha semua anak muda dalam parti dan ia memerlukan pendekatan dan agenda perubahan baharu. – UTUSAN










