Dek 'sayang' kedudukan, PN Pahang bimbang BN sanggup gadai tanah - Utusan Malaysia

Dek ‘sayang’ kedudukan, PN Pahang bimbang BN sanggup gadai tanah

ROSLI Abdul Jabar (tengah) bimbang kerajaan negeri Pahang akan tunduk kepada desakan pekebun durian haram di Raub dalam sidang akhbar di Pejabat Perikatan Nasional (PN) Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang bimbang Barisan Nasional (BN) sanggup menggadaikan tanah di negeri ini dek ‘sayang’ kedudukan yang diperolehi menerusi kerjasama membentuk kerajaan Pahang dengan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, kebimbangan itu dibangkitkan ekoran tuntutan dibuat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui baru-baru ini supaya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat semula terma pajakan tanah ladang-ladang durian yang dianugerahkan kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara ini dibangkitkan semula selepas pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan Campuran Pahang, juga menunjukkan terdapat usaha pihak tertentu untuk meraih kepentingan dalam kerajaan negeri hari ini.

“PN Pahang menggesa kerajaan negeri tidak tunduk kepada desakan tersebut memandangkan Mahkamah Tinggi Kuantan sudah menolak permohonan 204 pekebun untuk mengenepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri tiga tahun lalu.

“Berdasarkan rekod laporan media pada 2021, terdapat 4,400 hektar tanah diusahakan sebagai ladang durian di sekitar Raub adalah berstatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

“Hal ini sudah tentu mendatangkan impak kerugian hasil tanah bernilai puluhan juta ringgit kepada negeri ini. Jadi, PN Pahang menyokong supaya hasil-hasil ekonomi daripada industri durian dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak-anak syarikat negeri Pahang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PN Pahang di sini hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Yu Hui meminta kerajaan negeri bertimbang rasa terhadap nasib pekebun durian musang king di Raub yang sudah lama mengusahakan tanah berbanding pemberian pajakan kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (RPDR-PKPP).

Ahli Parlimen Raub itu dilaporkan berkata, semakan kehakiman masih diteruskan bagi menuntut keadilan dan membela hak pekebun selepas tanah diusahakan mereka dipajakkan kepada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun atas semangat rundingan dan demi kebajikan rakyat, Yu Hui menyeru Menteri Besar yang mengetuai kerajaan perpaduan untuk mengkaji semula dasar pajakan tanah kepada pihak RPDR-PKPP.

Pada 27 Januari lalu, Wan Rosdy dalam kenyataannya menasihatkan pekebun durian musang king di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di Raub yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan supaya menimbang semula sama ada untuk meneruskan atau tidak tindakan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Wan Rosdy dilaporkan berkata, kerajaan negeri berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah tanah Kerajaan Negeri yang merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal walaupun dalam konteks ekuiti.

Sebelum ini pada 3 Julai 2021 kawasan penanaman durian Musang King di Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar melibatkan kira-kira 15,000 pokok telah ditebang kerana ditanam di kawasan hutan simpan kekal.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, kerajaan negeri tidak perlu takut dengan gesaan dan ugutan pihak-pihak tertentu walaupun daripada rakan dalam kerajaan campuran kerana isu pencerobohan tanah secara haram merupakan isu yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.

Beliau berkata, penceroboh perlu dikenakan tindakan seperti mana dilakukan kepada orang lain menerusi penyelesaian yang adil membabitkan semua isu pencerobohan mengikut
lunas dan batasan undang-undang.

“PN Pahang juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah membuka kertas siasatan pada 2020 bagi menyiasat kegiatan penerokaan tanah haram di Raub.

“Kita juga berharap supaya laporan siasatan itu dimaklumkan kepada orang ramai kerana selepas tiga tahun ia berlangsung tidak ada sebarang berita berkaitannya diumumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya