Dasar pengecualian kabotaj akan dilaksana semula

Dasar pengecualian kabotaj akan dilaksana semula

Pelaksanaan semula dasar pengecualian kabotaj akan membolehkan kapal-kapal bukan dari negara ini dikecualikan daripada dikenakan tindakan jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan semula dasar pengecualian kabotaj yang sebelum ini ditarik kerajaan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Dengan pelaksanaan semula, kapal-kapal bukan Malaysia dikecualikan daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar pengecualian itu dalam masa terdekat dan maklumat lebih lanjut akan diberikan pada suatu tempoh masa yang sesuai nanti.

“Dasar kabotaj kita (kerajaan) akan buat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui semasa menaiki bas pengantara percuma menuju ke Parlimen, semalam.

Ditanya jika bekas Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dari MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong akan membantah pelaksanaan pengecualian katobaj, Anthony berkata: “Tiada masalah sebab ini bukan keputusan di Parlimen. Tapi ini keputusan Kabinet.”

Pada Disember tahun lalu, Utusan Malaysia dalam laporannya mempersoal pendirian Anthony berkenaan dasar pengecualian kabotaj yang pernah dilaksanakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penarikan semula dasar itu sebelum ini didakwa menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam kalangan negara terlibat bagi projek kabel internet dasar laut.

Dasar kabotaj adalah dasar diperkenal kerajaan pada 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang, sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.

Ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perkapalan asing, mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia boleh menggunakan laluan pelayaran domestik melainkan pengecualian diberikan.

Pemasangan kabel internet dasar laut amat penting bagi membekalkan kapasiti internet sangat diperlukan selain mening­katkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik.

Malaysia sebelum ini dilapor terlepas peluang daripada terlibat dalam projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilo­meter, yang menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura – akibat dasar kabotaj yang belum dise­lesaikan.

Syarikat gergasi teknologi seperti Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft pernah mengeluarkan kenyataan bersama meminta Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj.

Ini kerana, ia dikatakan memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya