Buang hiasan al-Quran: Rampas, tidak perbaharui lesen peniaga terlibat - Utusan Malaysia

Buang hiasan al-Quran: Rampas, tidak perbaharui lesen peniaga terlibat

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) menyerahkan simbolik pemberian bayaran insentif sekali beri berjumlah RM1,000 kepada wakil penggali kubur di negeri ini pada Majlis Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, Seremban malam tadi. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas sehingga merampas lesen perniagaan pengusaha dan peniaga perhiasan ayat al-Quran yang didapati terlibat dalam kejadian membuang barangan tersebut di tepi jalan atau di tempat pembuangan sampah haram.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan drastik itu diambil hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Agama Islam yang diadakan baru-baru ini.

Ia susulan beberapa kejadian penemuan longgokan perhiasan mengandungi ayat al-Quran yang ditemui dibuang di tempat pembuangan sampah haram di Nilai di sini.

“Kita akan tutup kedai yang terlibat dalam membuang ayat-ayat suci al-Quran di jalan atau tempat pembuangan sampah, kita akan merampas lesen dan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan tanpa belas kasihan lagi, ini merupakan tindakan yang cukup drastik oleh pihak jawatankuasa.

“Sekiranya ada penemuan lagi kita akan tarik semula lesen perniagaan mereka, bukan sahaja di satu lokasi kedai namun, kesemua kedai mereka di daerah lain di negeri ini akan ditarik semula,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Majlis Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini malam tadi. 

Utusan Online semalam melaporkan, selepas kejadian penemuan longgokan perhiasan ayat al-Quran yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di Nilai penghujung tahun lalu, berlaku lagi dua kejadian serupa pada tahun ini.

Kejadian terbaharu berlaku kelmarin manakala kejadian sebelum itu berlaku pada 26 Januari lalu dengan kedua-duanya juga berlaku di kawasan Nilai.

ANGGOTA penguat kuasa JHEAINS memeriksa barangan hiasan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang dibuang di kawasan tempat pembuangan sampah haram di Nilai 3, Nilai, Seremban pada 26 Januari lalu

Sementara itu, Aminuddin menambah, terdapat dua buah syarikat yang telah dikenal pasti susulan kejadian pembuangan hiasan al-Quran tersebut. 

“Kita boleh kesan siapa yang buang dan kita sudah panggil kedua-dua syarikat tersebut, memberi kompaun serta nasihat terakhir untuk mereka,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, beliau juga telah meminta pihak berkuasa khususnya pihak polis dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi memantau khususnya di kawasan Nilai sekali gus memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Aminuddin turut menyerahkan simbolik replika pemberian bayaran insentif sekali beri (one off) berjumlah RM1,000 yang diberi kepada kepada seramai 909 orang penggali kubur di negeri ini seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2023.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya