Buang bayi: Penduduk kampung kesal, harap pelaku segera dikesan - Utusan Malaysia

Buang bayi: Penduduk kampung kesal, harap pelaku segera dikesan

SHARIZA Sharif menunjukkan lokasi bungkusan mengandungi mayat bayi perempuan yang ditemui di pekarangan Masjid Kariah Sri Jemapoh, Kuala Pilah, semalam.- UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Penduduk Kampung Sri Jemapoh, di sini terkejut dan kesal susulan berlakunya kes penemuan mayat bayi perempuan yang dibuang di pekarangan masjid di kampung itu, semalam.

Menurut ahli jawatankuasa Masjid Kariah Sri Jemapoh, Shariza Sharif, 55, penemuan bungkusan yang terdapat mayat bayi di dalamnya hanya disedari oleh tiga remaja yang sedang bergotong royong membersihkan tembok masjid tersebut.

“Ketika mereka menyembur air paip ke tembok masjid sekitar pukul 3.30 petang kemudian mereka ternampak satu bungkusan di tepi sudut pagar masjid yang terletak berhampiran dengan pintu masuk.

“Sebaik sahaja melihat ke dalam bungkusan itu terdapat kotak dan apabila dibuka mereka terkejut apabila terdapat bayi di dalamnya.

“Mereka segera memaklumkan kepada bapa mereka dan satu laporan polis dibuat. Saya pun datang ke masjid setelah mendapat tahu ada bayi dibuang di masjid,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Sri Jemapoh, di sini, hari ini.

Ujar Shariza lagi, dia kesal apabila bayi yang dalam keadaan sempurna itu dibuang tanpa ada sikap perikemanusiaan oleh pelaku.

“Lebih elok bayi berkenaan diserahkan dalam keadaan baik kepada mana-mana pihak mahupun agensi dan bukan dalam keadaan seperti itu yang sudah tidak bernyawa.

“Sejak masjid ini didirikan pada tahun 1967, belum pernah lagi kejadian seperti ini berlaku dan kami harap agar pelakunya segera dapat dikesan,” katanya.

Media, semalam melaporkan mayat seorang bayi perempuan ditemukan di pekarangan Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh, Juasseh, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, pihaknya percaya bayi perempuan tersebut baharu dilahirkan dalam tempoh 24 jam.

“Mayat bayi ini dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban dan proses bedah siasat akan dilakukan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Amran berkata, pihaknya kini sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-484 2999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN