Boleh guna Menu Rahmah, asal beri manfaat kepada rakyat - Utusan Malaysia

Boleh guna Menu Rahmah, asal beri manfaat kepada rakyat

SALAHUDDIN AYUB menunjukkan Menu Rahmah yang disediakan di Samballana Bistro, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua golongan boleh menggunakan jenama Menu Rahmah, asalkan memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat yang memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan amat menggalakkan dan mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menyediakan pelbagai jenis makanan pada harga serendah RM5 selagi menjaga kualiti, cita rasa dan kuantiti makanan yang dijual kepada umum, khususnya golongan yang memerlukan.

“Saya tidak melihat ini sebagai eksploitasi dengan menggunakan jenama ‘Rahmah’ asalkan mereka menyediakan makanan dan minuman yang menyelerakan dengan harga serendah RM5. Saya ada nampak peniaga menyediakan menu Durian Rahmah dengan membungkus beberapa ulas durian dan dijual pada harga RM5.

“Ia nanti bukan sekadar menu, mungkin ada pula jual buah-buahan Rahmah, sayur Rahmah dan bila bulan puasa nanti ada pula bazar dan kuih Rahmah. Idea sendiri rakyat ini membuktikan mereka peka menyantuni rakyat yang memerlukan,” katanya selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini. 

Pada Selasa lalu, Salahuddin melancarkan inisiatif Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis menjual makanan.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama rangkaian restoran makanan segera pada minggu depan bagi kesediaan mereka menyediakan Menu Rahmah.

“Restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald’s antara yang berminat menyediakan Menu Rahmah. Mereka mempunyai idea dan proaktif dalam menyediakan menu serendah RM5. Kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus persatuan makanan kedai-kedai kaum Cina yang turut berminat menyediakan Menu Rahmah,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai memberitahu, kementeriannya dengan Kementerian Pengajian Tinggi juga akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sekitar Lembah Klang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Menurutnya, langkah itu sebagai permulaan sebelum program tersebut akan diperluaskan ke IPTA lain di seluruh negara serta di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi lain.
“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi maklum balas positif dan sangat bersetuju pengenalan Menu Rahmah di kafe-kafe IPTA seluruh negara,” katanya.- UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.