Bina dua jeti terapung setiap tahun, tidak mudah rosak - Utusan Malaysia

Bina dua jeti terapung setiap tahun, tidak mudah rosak

ZAHARI SARIP melihat kertas cadangan projek pembinaan jeti terapung di tebing sungai di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kerajaan negeri merancang untuk membina sekurang-kurangnya dua jeti terapung setiap tahun bagi memberi kemudahan kepada golongan nelayan darat, selain tidak mudah rosak akibat kejadian air pasang besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, hingga kini sebanyak empat jeti terapung telah siap dibina, iaitu di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar dan Segamat.

“Projek pembinaan jeti terapung ini akan mengambil masa kira-kira tiga bulan dan apabila siap kelak, golongan nelayan di sini akan mempunyai tempat khusus untuk menaikkan hasil tangkapan serta meletakkan bot masing-masing dengan lebih teratur dan selamat.

“Selain itu, jeti ini juga akan memudahkan nelayan ketika fenomena air pasang dan banjir. Pembinaan jeti terapung pada masa depan akan dibina di kawasan yang kerap dinaiki air supaya jeti yang dibina tidak rosak dan lebih mudah digunakan apabila berlaku kejadian banjir,” katanya selepas melawat tapak cadangan pembinaan jeti terapung di Kampung Seberang Batu Badak, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Johor, Zainudin Abd. Wahab dan Pegawai Perikanan Daerah Segamat, Noridayah Alias.

Zahari berkata, jeti terapung dibina di muara Sungai Segamat itu yang akan memberi kemudahan kepada kira-kira 40 nelayan darat di sekitar Kampung Seberang Batu Badak dan sekitarnya dengan melibatkan kos kira-kira RM100,000.

Sementara itu, beberapa inisiatif lain turut akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu menambah pendapatan nelayan darat termasuk melepaskan sebanyak 600,000 ekor anak ikan di sungai-sungai di negeri ini.

“Selain program pembenihan ikan air tawar dengan melepaskan anak ikan, Jabatan Pertanian Negeri juga telah melepaskan 70,000 ekor anak udang di Sungai Muar, berhampiran Kampung Awat bagi membantu nelayan darat di sana.

“Kita juga merancang untuk menjalankan projek ternakan ikan sangkar, membabitkan ikan baung di Muar dan kita telah kenal pasti para pesertanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.