PETALING JAYA: UMNO perlu melakukan perubahan drastik agar parti itu tidak terpisah dengan kehendak rakyat terutama golongan muda selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jumlah pengundi muda dan pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik perlu menjadi fokus UMNO kerana ia menjadi titik penentu kemenangan parti pada pilihan raya seterusnya.
Justeru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pucuk pimpinan UMNO perlu merangka strategi bermula sekarang atau parti akan berdepan risiko disingkir terus oleh rakyat selama-lamanya.
“Perlu ada imej dan tawaran baharu serta tidak boleh terpisah dengan golongan muda kerana kalau PRU15 golongan muda sekarang penuhi saluran lima dan enam, mereka nanti akan pindah ke saluran tiga dan empat.
“Jadi kalau kita tak ubah, waktu mereka saluran lima dan enam sudah tolak kita, apabila mereka pindah ke saluran tiga atau empat, mereka tetap tolak kita. Jangan lupa kita akan ada pengundi baharu saluran lima dan enam.
“Kalau dulu 4.5 juta terus ke saluran tiga dan empat dan ditambah lagi 4.5 juta di saluran lima dan enam ini makna sembilan juta. Kalau kali ini tolak kita awal lagi kita kalah. Sebab itu saya kata perlu beri harapan,” kata bekas Perdana Menteri kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
KEMELUT
UMNO yang hanya memperoleh 26 kerusi dalam PRU15 terus dilanda kemelut dan kemuncaknya ketika ini apabila bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk membabitkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Ketua UMNO Bahagian Pontian dan juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohamad pula digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Ditanya nasib parti selepas tindakan menggantung dan memecat beberapa pemimpin UMNO yang lantang itu, Ismail Sabri berkata, parti itu seperti mengambil langkah mengundur dan perkara itu akan memberi petanda salah kepada golongan muda.
“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka. Iaitu parti UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.
DIPECAT
“Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pemimpin yang dipecat UMNO seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar. Sebab itu, saya kata mereka ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli. Orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka,” kata Ahli Parlimen Bera itu lagi.
Susulan itu, kata Ismail Sabri, UMNO kini dilihat hilang harapan kepada golongan muda dengan tindakan yang dikenakan ke atas beberapa pemimpinnya itu.
Sudah semestinya, menurut beliau, sukar untuk UMNO menarik minat orang muda dan jangan lupa PRN akan datang, orang muda ramai, golongan berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik.
“Kita hadapi masalah sama dalam PRU15 baru-baru ini yang akhirnya ditolak orang muda dan golongan profesional. Sebab kita tak nampak apa tawaran baharu yang diberikan sebelum dan selepas PRU15 kalau kita dengan cara dan nada sama.
“Jadi tiada apa yang hendak diharapkan pada UMNO lagi. Kalau dulu kita ditolak, tiada sebab mereka mahu ubah dan tolak UMNO sekali lagi,” jelasnya.- UTUSAN










