PETALING JAYA: Pembentangan Belanjawan 2023 membuktikan kerajaan komited memastikan dan menaik taraf sistem pendidikan negara apabila memberi fokus sepenuhnya kepada membaik pulih sistem pendidikan negara.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, tiga perkara utama yang sering diharapkan warga pendidik mahupun pelajar dipandang serius oleh kerajaan menjadikan pembentangan kali ini akan memberi impak positif pada masa akan datang.
“Daripada perspektif pendidikan, kita memang berasa gembira kerana beberapa perkara yang kita bincangkan dan selalu menjadi masalah dalam sistem pendidikan negara diberi penekanan kerajaan.
“Tiga perkara utama yang diberi penekanan adalah berkaitan sekolah daif, penyelenggaraan dan penggantian perkakas untuk tujuan pembelajaran seperti meja serta kerusi. Ketiga, memastikan keselesaan untuk orang kurang upaya (OKU) itu sangat baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion.
Itu merangkumi RM2.3 bilion untuk infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di sekolah, RM920 juta untuk menaik taraf sebanyak 380 buah sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.
Malah RM900 juta juga diperuntukkan untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Selain itu, kerajaan juga memberi penegasan bahawa setiap sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra OKU dan juga bakal membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk berhimpun.
Anuar berkata, sebagai pemerhati pendidikan beliau amat berpuas hati dengan pembentangan tersebut kerana ia betul-betul memberi tumpuan kepada keperluan utama untuk anak-anak mendapatkan keselesaan semasa menjalani proses pembelajaran.
“Seluruh peruntukan itu ditumpukan kepada keperluan utama pelajar, tiada projek-projek khas atau baharu. Itu satu perkara yang menarik, jika kita soal tentang pemulihan pendidikan jadi Belanjawan 2023 adalah jawapannya,” katanya. – UTUSAN










