Banjir Pahang: Jumlah mangsa 2,797 di 20 PPS di Kuantan, Pekan - Utusan Malaysia

Banjir Pahang: Jumlah mangsa 2,797 di 20 PPS di Kuantan, Pekan

AIR Sungai Tembeling sudah surut ke paras biasa dan penduduk mula menjalankan kegiatan harian di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 2,797 mangsa banjir membabitkan 847 buah keluarga masih berada di 20 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuantan dan Pekan sehingga pukul 8 pagi hari ini.

Keadaan ini tidak berubah seperti mana dilaporkan pada pukul 12 tengah malam tadi melibatkan jumlah mangsa yang sama ditempatkan di PPS di dua daerah berkenaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, Kuantan masih mencatat jumlah tertinggi, iaitu seramai 2,678 orang mangsa daripada 812 buah keluarga ditempatkan di 16 buah PPS.

“Di Pekan seramai 119 orang mangsa daripada 35 buah keluarga dilaporkan masih berada di empat buah PPS.

“Kebajikan mangsa berkenaan kini dipantau oleh anggota pihak berkuasa beruniform, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak dipindahkan ke PPS kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, menurut Che Adam, dua batang sungai, iaitu Sungai Belat di Sri Damai (Kuantan) merekodkan paras bahaya pada paras 5.11 meter, manakala Sungai Keratong di Jambatan Bahau – Keratong (Rompin) mencatat paras 24.01 meter juga paras bahaya.

“Sebanyak enam batang sungai masih merekodkan paras amaran dalam keadaan tren menaik , manakala lima lagi menunjukkan waspada juga tren menaik dan bertahan,” katanya.

Che Adam berkata, kebanyakan tempat di 11 buah daerah berlaku hujan lebat dan ribut petir mulai petang ini hingga ke malam esok.

Katanya, APM di setiap daerah dengan kerjasama anggota bomba dan penyelamat akan terus memantau keadaan paras air di setiap batang sungai serta bersiap siaga untuk penugasan bantuan sekiranya banjir berlaku.

Ujarnya, mangsa yang sudah pulang ke rumah masing-masing serta penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu sentiasa mengikuti perkembangan banjir serta waspada di samping memperoleh maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa beruniform, JPKK dan jawatankuasa banjir daerah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.