Bangkit ternak kelah lagi selepas rugi setengah juta - Utusan Malaysia

Bangkit ternak kelah lagi selepas rugi setengah juta

MOHD. Saiful Basri Mat Yaakob memberi makanan kepada ikan kelah dan tilapia di kolam ternakannya di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang penternak ikan kelah kembali bangkit memelihara spesies ikan air tawar itu selepas berdepan kerugian hampir setengah juta ringgit selepas hidupan itu mati akibat kekurangan oksigen dua tahun lalu.

Mohd. Saiful Basri Mat Yaakob, 47, berkata, kejadian itu menyebabkan 500 ekor ikan kelah dibelanya termasuk spesies air tawar lain turut mati.

Namun, menurutnya, perkara itu tidak mematahkan sema­ngatnya sebaliknya dia kembali bangkit dengan menternak semula ikan air tawar seperti kelah dan tilapia.

“Sejak mengusahakan ternakan ikan air tawar lebih 10 tahun, itu adalah kejadian pertama yang menyebabkan saya mengalami kerugian besar.

“Bagaimanapun, saya terus bersemangat dan terus mengusahakan ikan air tawar. Sehingga kini terdapat kira-kira 3,000 ekor ikan kelah dan 3,000 ekor ikan tilapia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Gua Kambing di Kampung Lepan Jaya di sini, semalam.

Mohd. Saiful Basri berkata, dia bersyukur apabila permintaan ikan kelah kini tinggi dan sehingga tidak dapat menampung permintaan.

Katanya, harga ikan kelah yang dijualnya kini mampu mencecah RM350 sekilogram.

“Ikan kelah memerlukan masa empat tahun untuk membesar dan seterusnya boleh dijual kepada pelanggan.

“Setakat ini ikan kelah yang paling besar seberat empat kilogram tetapi biasanya saya akan mula menjual pada usia matang (enam bulan) yang beratnya kurang dari satu kilogram,” jelasnya.

Mohd. Saiful Basri berkata, ketika ini juga dia mempunyai lebih 2,000 ekor anak ikan kelah yang dibeli daripada orang kampung dan melakukan proses penetasan sendiri.

Katanya, disebabkan harga makanan ikan yang telah mening­kat, dia turut memberi makanan tambahan seperti ubi kayu, sawit dan buah-buahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN