PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bersedia memberikan penjelasan kepada Lembaga Disiplin UMNO pada Khamis ini berhubung sebarang aduan membabitkan dirinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Armand Azha berkata, bagaimanapun beliau sehingga kini tidak mengetahui alasan dan punca kenapa dirinya dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Namun beliau menegaskan, dirinya perlu diberikan hak membela diri dalam membabitkan aduan sehingga dipanggil badan berkenaan.
“Dalam soal ini, kita kena tengok pandangan semua pihak sama ada Lembaga Disiplin dan diri saya sendiri. Tapi saya pun tidak tahu apa sebab dipanggil mereka.
“Namun saya bersedia memberikan penjelasan berkenaan segala perkara membabitkan nama saya,” katanya.
Kelmarin, Armand Azha mengesahkan beliau dipanggil Lembaga Disiplin parti tersebut Khamis ini di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
MENGHADAP
Dalam pada itu, Armand Azha memaklumkan satu sidang akhbar akan dibuat sebaik sahaja beliau selesai menghadap Lembaga Disiplin.
“Selepas itu, baru tahu apa aduan sehingga saya dipanggil,” katanya.
Armand merupakan antara dua nama yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua Pemuda dan dijangka berdepan saingan Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.
Jika keputusan digantung atau dipecat, beliau tidak boleh meneruskan niat untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda.
Jawatan itu terbuka ekoran penyandangnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tidak mempertahankan kedudukan dalam pemilihan parti.
Pemilihan UMNO 2023 dijadual bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UTUSAN










