BATU PAHAT: Tiga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat terpaksa terjun dari bot untuk menyusuri pantai yang cetek dan berlumpur untuk mematahkan cubaan warga asing memasuki negara secara haram.
Kejadian di perairan Sungai Buntu di Pontian kira-kira pukul 4.30 pagi tadi itu akhirnya berjaya menahan sembilan warga asing dipercayai dari Indonesia berusia 35 hingga 67 tahun.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, sebelum kejadian pihak menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah bot dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.
Susulan itu, sebuah pasukan dengan kekuatan lima anggota dan sebuah bot peronda Kilat dikejarkan ke lokasi dilaporkan untuk membuat pemantauan.
“Setibanya di lokasi didapati tiada sebarang pergerakan bot yang curiga seperti dilaporkan, namun selepas pemantauan terperinci dilakukan akhirnya berjaya menjejaki
beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di kawasan berlumpur, iaitu pada kira-kira 0.16 batu nautika barat daya Sungai Buntu, Pontian.
“Berikutan itu, tiga anggota Maritim Malaysia terpaksa terjun menyusuri pantai kerana airnya cetek serta berlumpur untuk mengejar kumpulan PATI berkenaan sebelum berjaya ditahan mereka selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Haniff, semua PATI kemudiannya dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan seterusnya memastikan perairan Johor selamat, aman dan terkawal.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau talian bantuan kecemasan, MERS 999. – UTUSAN