Ahmad tak bertanding Naib Presiden, tapi cabar Hasni di Pontian - Utusan Malaysia

Ahmad tak bertanding Naib Presiden, tapi cabar Hasni di Pontian

AHMAD MASLAN bersalaman dengan orang ramai yang menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian di Dewan UMNO, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN:  Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan tidak bertanding jawatan Naib Presiden, sebaliknya mencabar  Datuk Seri  Ir. Hasni Mohammad sebagai Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berikutan  terdapat tiga calon dari Johor yang akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden, iaitu penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam serta calon tunggal wanita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Kalau saya masuk akan menjadi empat orang, dari segi layak, saya memang layak, kerana telah lama dalam UMNO, pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO dan sekarang Setiausaha Agung UMNO.

“Saya perlu melihat realiti, jika terlalu ramai dari satu negeri, peluang untuk menang adalah tipis dan ia akan memecah undi. Pihak di luar sana pun akan melihat mengapa ramai sangat calon dari Johor,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian di Dewan UMNO, di sini malam tadi.

Selain tiga calon daripada Johor, turut menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden ialah seorang lagi penyandang, Datuk Seri  Mahdzir Khalid; Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail;  Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong telah menarik diri bertanding jawatan berkenaan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Timbalan Menteri Kewangan 1 hanya akan mempertahankan jawatan MKT UMNO dan bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

“ Ya, saya mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian dan borang pencalonan akan dihantar petang esok (petang ini) di Pejabat UMNO  Bahagian Pontian,” katanya.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian kini disandang oleh Hasni sejak tahun 2001, manakala Ahmad merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian mulai 2008.

Dengan pengumuman yang dibuat oleh Ahmad mengesahkan spekulasi mengenai pertandingan tersebut oleh dua pemimpin utama UMNO Bahagian Pontian yang dijangka berlangsung sengit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya