ALOR SETAR: Selepas beberapa tahun menyepikan, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah bakal kembali ke gelanggang politik apabila sudah mengesahkan untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang pernah disandangnya.
Menurut sumber, Ahmad Bashah mengesahkan untuk kembali merebut jawatan itu setelah wakilnya menghantar borang pencalonan di Pejabat UMNO negeri di Bangunan Tunku, semalam.
Difahamkan setakat ini kehadiran semula Ahmad Bashah disambut ‘tenang’ oleh ahli-ahli UMNO bahagian tersebut dengan beliau dijangka tidak dicabar oleh mana-mana pihak untuk mendapatkan jawatan itu.
“Setakat ini nampaknya begitulah (Ahmad Bashah tak dicabar) kerana difahamkan pemangku jawatan tersebut, Zambri Mat dikatakan hanya akan kembali mempertahan jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
“Bagaimanapun setakat ini tiada yang pasti kerana tarikh akhir penyerahan borang adalah pada 26 Februari. Dalam tempoh itu, banyak perkara boleh berlaku termasuk di mana-mana bahagian sekali pun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar kini kosong susulan parti menggantung penyandangnya, Datuk Mohd. Yusof Ismail kali pertama pada September tahun lalu sebelum rayuan berhubung perkara itu diterima, namun beliau kini digantung sekali lagi oleh UMNO.
PENJURU
Sementara itu, Utusan Malaysia turut difahamkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bakal berdepan saingan empat penjuru untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerai.
Sumber itu memaklumkan, Jamil yang tewas dengan majoriti 33,192 kepada calon Pas, Sabri Azit di kerusi Parlimen Jerai bakal berdepan saingan bekas Setiausaha Sulit Kanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sewaktu memegang jawatan Menteri Pertahanan iaitu Datuk Ahmad Ikmal Ismail.
“Bekas calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Mohd. Fadzillah Mohd. Ali yang juga seorang arkitek turut dijangka bertanding dan seorang lagi individu yang mengesahkan pencalonan ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerai selama dua penggal, Khairul Nizam Mohd. Rodzi,” katanya.
Khairul Nizam ketika dihubungi memaklumkan, beliau tidak berhasrat untuk ‘berlawan’ dengan sesiapa bagi merebut jawatan tersebut sebaliknya bertindak menawarkan diri demi memajukan parti.
“Keputusan untuk bertanding jawatan ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa sebaliknya dibuat demi memperkukuh UMNO di Jerai. Saya sudah tiga penggal menjadi Ketua UMNO Cawangan Kampung Kepala 30 di Parlimen ini dan ini bukan soal hendak jadi calon atau sebagainya.
“Rumah saya di sini dan tak ada rumah lain di mana-mana. Saya tahu betapa susahnya nak himpunkan orang di sini untuk kembalikan keyakinan mereka kepada UMNO ketika pemimpin Pas sentiasa berada dalam kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Pengerusi UMNO Kedah yang melepaskan jawatan pada November lalu, Datuk Othman Aziz ketika dihubungi memaklumkan yang beliau akan mempertahan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerlun.
Menurut beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, jawatan tersebut dijangka turut ditandingi beberapa calon lain.
“Setakat ini saya dimaklumkan saingan untuk jawatan ketua bahagian mungkin akan jadi tiga atau empat penjuru. Tetapi ini hanya ‘pertandingan’ adik-beradik dalam keluarga. Tiada langsung memecahkan parti sebaliknya masing-masing berhasrat memperkukuhkan UMNO,” katanya.- UTUSAN










