10 peniaga Kompleks PKNS bantah arahan pindah - Utusan Malaysia

10 peniaga Kompleks PKNS bantah arahan pindah

Peniaga PKNS
ALI Noor (duduk, empat kiri), pada sidang akhbar membantah arahan berpindah dekat Kompleks PKNS di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 10 peniaga menganggap nasib mereka tidak terbela apabila diarahkan berpindah ke tempat lain yang dikhuatiri akan menjejaskan hasil jualan mereka.

Mereka terdiri daripada peniaga yang membuka gerai kiosk push cart dalam pusat beli-belah Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sudah 40 tahun berniaga, namun diarah berpindah ke tapak baharu dinamakan Tempat Orang Lokal (TOL) dalam bangunan sama.

Menurut pengerusi badan bertindaknya, Ali Noor Sidin, mereka kecewa kerana tidak diajak berbincang untuk mewujudkan situasi menang-menang sebelum pengurusan PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) mengarahkan mereka berpindah.

“Kami sudah berniaga hampir 40 tahun di lokasi ini dan mengikut perjanjian sewa tapak antara kedua pihak ia masih sah hingga 2025.

“Walaupun lokasi TOL itu tidak jauh dari lokasi sekarang, mengikut pengalaman kami kebanyakan peniaga akan mengalami kerugian dan terpaksa berhenti berniaga di lokasi tidak strategik itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, mereka yang berniaga kecil-kecilan produk berkonsepkan agama dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain bimbang dengan nasib mereka yang baharu pulih daripada kerugian akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, salah seorang peniaga meluahkan nasib mereka ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila diarah berpindah bagi memberi laluan kepada pembukaan gerai sempena Hari Raya Aidilfitri apabila peniaganya dikatakan sanggup membayar sewa sehingga RM13,000.

“Kami cuma bayar RM1,000 sebulan. Rasa kecewa kerana diperlakukan begini, sedangkan kami adalah perintis kemajuan tempat ini. Hasil berniaga di sini dua anak saya berjaya menjadi jurutera dan selepas ini saya tidak tahu hendak berniaga di lokasi tidak strategik,” luahnya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili kesemua peniaga itu memberitahu akan menfailkan injunksi kepada mahkamah jika pengurusan Kompleks PKNS berkeras meminta peniaga berpindah ke lokasi berkenaan.

“Apa yang pasti kontrak menyatakan peniaga boleh berniaga di lokasi tersebut bermula 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025. Namun, peniaga hanya diberi ganti rugi sebulan sewa percuma di lokasi baharu.

“Peniaga mempunyai hak perundangan berdasarkan perjanjian sedia ada. Pihak pengurusan berhadapan dengan tuntutan kerugian bernilai ratusan ribu jika pecah kontrak (breach of contract) berlaku akibat arahan pindah semasa perjanjian masih sah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya