TPM arah APM tubuh pasukan khas bencana di setiap Parlimen - Utusan Malaysia

TPM arah APM tubuh pasukan khas bencana di setiap Parlimen

AHMAD ZAHID HAMIDI (tengah) bergambar bersama mangsa banjir ketika meninjau PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menubuhkan sebuah rejimen atau pasukan khas di semua 222 kawasan Parlimen bagi membantu dan menyelamatkan rakyat semasa kejadian bencana.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pasukan khas itu sebagai persediaan menghadapi bencana besar, terutamanya banjir kebakaran, kemalangan dan bencana lain.

“Saya sudah meminta Ketua Pesuruhjaya APM untuk mewujudkan pasukan pertahanan awam dengan jumlah satu rejimen atau pasukan bagi setiap kawasan Parlmen di seluruh negara.

“Anggota ini perlu diberikan latihan, pakaian seragam dan lakukan latihan setempat jika berlaku bencana banjir atau kebakaran, kemalangan, supaya bantuan awal dan segera dapat disalurkan.

“Inisiatif ini dikoordinasikan untuk seluruh 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dan akan dilakukan tahun ini juga.

“Diharap dengan adanya kerja terkoordinasi ini, kita ada langkah dan persediaan terkehadapan bagi menghadapi bencana pada bila-bila masa,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sri Medan, PPS Seri Sejati dan PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan, dekat sini hari ini.

Yang turut hadi,, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kerajaan akan membina dewan PPS kekal di sekolah-sekolah membabitkan kawasan yang sering dilanda banjir.

Menurutnya, kebanyakan PPS menggunakan sekolah yang berada di kawasan lebih tinggi, terutamanya di kawasan rendah dan sering banjir.

“Jadi mana-mana sekolah yang dijadikan PPS, maka ‘smart partnership antara  Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan sekolah akan dilakukan. Ia dimulakan di lapan sekolah di Johor membabitkan kawasan Mersing dan  Batu Pahat, sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Untuk itu kerajaan akan membina dewan kekal di sekolah-sekolah lokasi banjir untuk dijadikan PPS tetap di sekolah-sekolah, manakala pada luar musim banjir, ia akan digunakan oleh sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beberapa cadangan penyelesaian untuk menangani dan mendepani masalah banjir dilakukan di Batu Pahat dengan peruntukan RM2 juga, antaranya melakukan penyelenggaraan bagi mendalamkan atau mengorek parit-parit di kawasan terjejas supaya dapat mengalirkan limpahan air dan banjir termenung.

Selain itu, katanya, sebanyak RM5 peruntukan daripada Nadma disalurkan kepada agensi pelaksana, iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membeli pam air berkuasa tinggi bagi mengatasi banjir termenung di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya