Timbalan Pengarah HTF didakwa seleweng, salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Timbalan Pengarah HTF didakwa seleweng, salah guna kuasa

Norhisham Hassan diiringi masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis bagi menghadapi 10 pertuduhan membabitkan penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung pemberian wang elaun bantuan Covid-19 oleh kerajaan Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Tuanku Fauziah (HTF)  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar di sini hari ini atas 10 pertuduhan membabitkan kesalahan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tertuduh, Norhisham Hassan, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan memohon untuk dibicarakan atas semua pertuduhan membabitkan pemberian sumbangan wang bantuan elaun Covid-19 kepada petugas barisan hadapan kesihatan oleh kerajaan negeri Perlis dengan jumlah keseluruhan RM272,000.

Berdasarkan pertuduhan, Norhisham didakwa tidak mengagihkan sepenuhnya wang elaun tersebut  kepada petugas di negeri itu dan secara curang menandatangani dokumen rekod yang mengesahkan penerimaan wang bantuan itu bernilai RM400 bagi setiap seorang penerima. 

Semua  10 pertuduhan kes tersebut  direkodkan berlaku di HTF antara 27 sehingga 29 April 2020.

Semua pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap kes dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 dan perlu melaporkan diri setiap bulan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kangar.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar bayaran jaminan itu dikurangkan  atas alasan dia mempunyai komitmen lain antaranya perlu membayar pinjaman bank pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh  membayar jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM40,000 bersama seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan dengan perlu melaporkan diri di SPRM pada setiap bulan.

Tertuduh memilih untuk membayar wang jaminan itu dan mahkamah menetapkan tarikh 7 Februari depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari ketika dihubungi berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada SPRM berhubung kes itu.

“Sekiranya sudah dapat (maklumat rasmi), kita akan mematuhi sepenuhnya tatacara pengurusan dan tatatertib penjawat awam berhubung kes itu,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN