Tiga lelaki mengaku tidak salah cederakan peniaga - Utusan Malaysia

Tiga lelaki mengaku tidak salah cederakan peniaga

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiga lelaki termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tuduhan mencederakan seorang peniaga di Felda Serting Hilir 5, Jempol, minggu lalu.

Ketiga-tiga tertuduh Mohamad Fairul Mohd Alwi, 23, Mohamad Emran Faiz Yahya, 28 dan seorang remaja berusia 17 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama telah dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki dengan menggunakan sebatang kayu penyapu, sebatang kayu cangkul dan getah paip.

Perbuatan itu dilakukan sebuah rumah di Felda Serting Hilir 5, pukul 1 pagi, 23 Januari lalu. 

Oleh itu, ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi memohon sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Hakim kemudiannya membenarkan Mohamad Fairul dan Mohamad Emran diikat jamin RM6,000 setiap seorang manakala seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun diikat jamin sebanyak RM4,000.

Masing-masing dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Hakim turut menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Sesyen Kuala Pilah.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh turut mengaku mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap individu yang sama.

Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga dipukul dengan batang cangkul, penyapu dan getah paip selepas didakwa melakukan hubungan sulit dengan seorang wanita yang juga isteri orang.

Antara enam suspek yang ditangkap termasuklah suami wanita terbabit. Selain dipukul, wang milik peniaga berkenaan di dalam akaun turut dikebas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya