Setiap bulan jutaan ringgit mengalir ke negara jiran - Utusan Malaysia

Setiap bulan jutaan ringgit mengalir ke negara jiran

MONOPOLI peniaga Thailand termasuk di kedai-kedai makan di Padang Besar, Perlis menyebabkan aliran keluar duit ke negara jiran itu dianggarkan mencecah jutaan ringgit setiap bulan. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Monopoli peniaga warga Thailand di kawasan arkeb niaga Padang Besar dan sekitarnya termasuk membabitkan kedai-kedai makanan menyaksikan aliran keluar duit dianggarkan mencecah jutaan ringgit setiap bulan.

Masalah itu berlarutan sejak sekian lama apabila ada dalam kalangan peniaga warga tempatan yang menyewa tapak kepada peniaga Thailand itu.

Sepatutnya kesan daripada pengunjung yang sentiasa memenuhi Padang Besar memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini bukannya melimpah ke negara luar.

Sebagai rekod, Padang Besar iaitu salah satu lokasi pelancongan popular di negeri ini adalah ‘lubuk emas’ kepada para peniaga selain mampu membantu merancakkan ekonomi di Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan melaksanakan beberapa syarat tambahan bagi memastikan para peniaga adalah warga tempatan.

Beliau difahamkan lebih 20 peratus daripada 30 gerai makanan khususnya di arkeb niaga Padang Besar dan kompleks beli-belah Padang Waremart dimonopoli peniaga warga Thailand yang menyewa tapak daripada warga tempatan.

ALIRAN

Katanya, dianggarkan aliran keluar mata wang ke negara jiran boleh mencecah sehingga jutaan ringgit atau lebih setiap bulan disebabkan isu peniaga luar itu.

“Jika sebuah kedai mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan bayangkan jika membabitkan keseluruhan premis makanan berkenaan yang nilainya boleh mencecah jutaan ringgit setiap bulan yang dibawa keluar.

“Kita nasihatkan peniaga-peniaga tempatan jangan sewa kepada orang luar, berniaga betul-betul,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, difahamkan sejak puluhan tahun lalu, lebih 85 peratus perniaga di arked berkenaan dikuasai warga Thailand yang menyewa tapak perniagaan daripada warga tempatan.

Bagaimanapun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan pintu sempadan ebelum ini membantu ‘membersihkan’ peniaga warga Thailand yang sejak sekian lama memonopoli perniagaan di arked niaga Padang Besar tersebut.

Pelancong ke Perlis dengan Padang Besar menjadi antara salah satu lokasi tumpuan sekali gus mampu menjana ekonomi di negeri ini.

MERUNGUT

Sementara itu, tinjauan U di kawasan berkenaan mendapati ada dalam kalangan pengunjung merungut kerana harga makanan mahal khususnya pada cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.

Seorang penduduk tempatan, Hassan Abu Samah, 46, berkata, masalah harga mahal apabila ada warga tempatan bertindak menyewakan premis kepada peniaga Thailand secara sesuka hati.

Katanya, situasi itu menyebabkan peniaga Thailand itu mengenakan bayaran sesuka hati bagi mengaut keuntungan.

“Apa guna sekiranya negeri ini menerima kemasukan jutaan pelancong namun duit hasilnya mengalir ke seberang. Mereka mengenakan bayaran tidak masuk akal kepada pengunjung tempatan dan luar,” katanya.

Tambahnya, langkah penguatkuasaan sewajarnya diambil bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan atas pelancong luar atau tempatan yang datang ke sini.

“Perlis semakin mendapat tempat di hati pelancong namun setiap pihak perlu memainkan peranan menjaga imej negeri ini,” katanya.

Seorang pengunjung dari Perak, Mohd Hasrizal Mohd Yusuf, 42, berkata, harga makanan mahal malah ada pengusaha didapati turut mengenakan bayaran dua kali ganda berbanding kebiasaan.

“Tindakan sebilangan pengusaha kedai makanan itu adalah tidak wajar dan boleh memberi gambaran kurang baik khususnya kepada peniaga-peniaga lain,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN