Segera siapkan naik taraf jambatan, punca Jalan Seremban-Kuala Pilah sesak - Utusan Malaysia

Segera siapkan naik taraf jambatan, punca Jalan Seremban-Kuala Pilah sesak

PENGGUNA jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus, Kuala Pilah pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan serta pihak kontraktor terlibat diminta untuk menyiapkan segera kerja-kerja menaik taraf sebuah jambatan di Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kuala Pilah yang menjadi antara punca kesesakan teruk di jalan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mengambil maklum kesesakan lalu lintas dialami pengguna jalan raya di situ setiap kali musim cuti perayaan termasuk cuti sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap projek naik taraf jambatan yang sedang dijalankan di situ perlu segera disiapkan supaya kesesakan serupa tidak berulang apabila tiba musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Kerajaan negeri ambil maklum kesesakan lalu lintas semasa cuti umum ini, bukan sahaja berlaku di Jalan Seremban-Kuala Pilah tetapi berlaku juga di tempat lain termasuk lebuh raya, ia menyebabkan pengguna jalan raya ambil masa panjang untuk sampai ke destinasi

“Di Kuala Pilah jalan sesak, ada pulak projek naik taraf jambatan yang tidak lagi selesai, ini mengganggu lalu lintas, saya harap kontraktor dan JKR dapat segerakan, saya lihat ia ambil masa terlalu lama untuk disiapkan, ini gangguan-gangguan menyebabkan lalu lintas sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di sini hari ini.

PENGGUNA jalan raya yang melalui laluan Seri Menanti ke Seremban dekat Kampung Parit Istana, Kuala Pilah terperangkap dalam kesesakan teruk pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Kesesakan teruk di Jalan Seremban-Kuala Pilah baru-baru ini menimbulkan rungutan pengguna jalan raya tersebut malah ada di antara mereka yang memaklumkan terpaksa menempuh perjalanan sehingga lima jam dari Kuala Pilah ke Seremban meskipun kebiasan ia hanya mengambil masa 45 minit.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri sememangnya mempunyai cadangan untuk melebarkan jalan berkenaan namun ia terhalang dengan isu tanah adat serta rumah penduduk kampung yang banyak terletak berhampiran sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah itu.

“Kerajaan negeri juga ada terima cadangan dari pihak swasta bagi pembinaan lebuh raya, tetap sampai hari ini syarikat tersebut belum ada kemampuan, kemungkinan menghadapi masalah kewangan menyebabkan ia tertangguh,” tambahnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, mengambil maklum masalah yang sama, Jalan Tanjung Ipoh ke Ranjau Hantu yang menghubungkan kampung-kampung tradisi seperti Kampung Ampang Tinggi, Kampung Pulau Jelebu dan Kampung Kuala Serdang ke pekan Kuala Pilah dan Tanjung Ipoh di Kuala Pilah akan dinaik taraf.

“Projek ini bakal mewujudkan jalan alternatif buat para pengguna yang ingin ke Seremban dan Kuala Pilah dengan anggaran kos projek sebanyak RM12.5 juta. Untuk makluman, projek ini adalah salah satu inisiatif dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2023, semoga usaha ini dapat memberikan keselesaan buat pengguna jalan tersebut,” katanya.

Selain menjadi laluan utama menghubungkan Seremban dengan kawasan Negeri Sembilan Timur seperti daerah Kuala Pilah dan Jempol, Jalan Seremban-Kuala Pilah turut menjadi laluan alternatif pengguna jalan raya untuk ke Pantai Timur.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.