Safawi jual semua menu RM2.90 di Warung Tepi Jalan

Safawi jual semua menu RM2.90 di Warung Tepi Jalan

ORANG ramai mengunjungi gerai Warung Tepi Jalan diusahakan Safawi Abdullah yang menjual pelbagai jenis makanan dengan harga RM2.90 di Taman Lagenda, Padang Serai di Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Meskipun berdepan dengan kenaikan harga barang, seorang peniaga tetap tidak berkira apabila menawarkan 14 menu hidangan hanya pada harga RM2.90 di Warung Tepi Jalan di Padang Serai, di sini sejak dibuka pada bulan lalu.

Safawi Abdullah, 47, berkata, dia menjual semua menu pada harga sama kerana mahu melakukan amal jariah dengan memastikan semua pelanggan dapat menikmati hidangan di situ.

“Antara menu yang dijual di gerai ini adalah nasi ayam, laksa, mi kari, mi segera tomyam, mihun dan kuetiau sup, rojak, cendol, bebola daging serta keropok lekor.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan ada pelanggan yang datang dari luar daerah Kulim ini,” katanya ketika ditemui di gerai tersebut yang terletak di Jalan Lagenda 11/1, di sini semalam.

Katanya, pada mulanya, dia hanya menjual lapan jenis menu sebelum ditambah enam lagi menu kerana makanan cepat habis.

“Ramai pelanggan merungut kerana makanan cepat habis, lalu, saya panggil ibu saudara isteri saya untuk turut sama berniaga di sini bagi menambah menu pada harga sama.

“Bahan dalam setiap hidangan adalah sama dengan yang dijual oleh peniaga lain. Contoh menu laksa walaupun harga RM2.90, tetap ada telur sebelah dan kuantitinya juga sama seperti yang dijual di luar sana,” ujarnya.

Katanya, gerai tersebut diuruskan isteri, Norzita abdullah, 46, bersama ibu saudaranya kerana dia masih bekerja di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech.

Sementara itu, kata Safawi, dia tidak risau dengan pendapatan diperoleh kerana hasil jualan masih mencukupi untuk modal berniaga pada hari berikutnya dengan sedikit keuntungan.

“Idea untuk menjual makanan pada harga murah ini adalah bagi meringankan beban orang ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan selain kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

Menurutnya, ramai pelanggan yang berpuas hati dengan makanan dan harga yang ditawarkan.

“Soal keuntungan bukan keutamaan saya, sebaliknya keberkatan yang diperoleh kerana saya seronok melihat anak-anak kecil dapat mengambil makanan kegemaran mereka,” katanya.

Tambahnya, pelanggan biasanya sudah beratur di gerai seawal pukul 12.30 tengah hari dengan gerai mula dibuka pada pukul 1 tengah hari dan kebiasaannya makanan habis dijual pada pukul 4 petang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya