Rosman masih komited bawa Ee Yi-Yew Sin ke Paris 2024

Rosman masih komited bawa Ee Yi-Yew Sin ke Paris 2024

TEO EE YI-ONG YEW SIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekalahan beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin bukanlah sesuatu yang merisaukan, sebaliknya usaha mereka untuk kembali bangkit daripada kekalahan itu bagi mengharungi musim yang masih panjang untuk tahun menjadi keutamaan pengendali mereka, Rosman Razak.

Rosman akui banyak penambahbaikan perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan kembali tahap permainan dan keyakinan Ee Yi dan Yew Sin untuk memburu penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan negara itu tumpas kepada beregu No. 1 Dunia, Rian Ardianto dan Fajar Alfian dalam aksi suku akhir Terbuka Malaysia tempohari, sekali gus mengakhiri cabaran skuad negara di laman sendiri.

Justeru masa kian suntuk buat pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 itu memandangkan kempen kelayakan ke temasya sukan terbesar dunia itu akan berlangsung 1 Mei ini, dan satu negara dihadkan menghantar dua wakil sahaja, dengan syarat mereka harus berada dalam kelompok lapan terbaik ranking kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Ini kejohanan pertama saya bersama mereka, yang paling penting saya rasa mereka dah bagi segala-galanya, ini keputusannya, dan tidak seharusnya mereka pandang ke belakang kerana musim ini masih lagi panjang dan kelayakan ke Sukan Olimpik akan bermula tidak lama lagi.

“Secara keseluruhan dalam kejohanan ini mereka (Ee Yi dan Yew Sin) tidak bermain dengan teruk, cuma bila di tahap ini, sedikit kesilapan akan membawa perubahan besar kepada keputusan,” jelas Rosman.

Rosman pernah membimbing mereka untuk tempoh yang singkat ketika persiapan skuad negara menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta/Palembang, namun akui tahap permainan mereka kini sudah jauh berbeza sejak digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2020.

Bagaimana untuk meletakkan mereka di satu tahap lebih tinggi memerlukan usaha yang lebih kerana Ee Yi dan Yew Sin berpotensi untuk mencapai kejayaan lebih tinggi dalam karier mereka, dan tidak lagi perlu dibayangi gandingan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

“Konsistensi itu penting, dalam acara beregu lelaki khususnya, sesiapa pun boleh menang jika mereka tampilkan aksi terbaik, jadi prestasi di hari pertandingan adalah penting, tetapi bagaimana mereka mahu terus kekalkan prestasi itu di sepanjang musim ini adalah jauh lebih mustahak,” jelas Rosman.

Selepas ini mereka akan bersaing di Terbuka India yang akan bermula pada Selasa, disusuli Thailand Masters pada 31 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya