Polis nafi nahas Perodua Axia berlaku di Bukit Putus - Utusan Malaysia

Polis nafi nahas Perodua Axia berlaku di Bukit Putus

GAMBAR tular di WhatsApp yang memaklumkan kejadian kemalangan sebuah kereta Perodua Axia dan dikatakan berlaku di Bukit Putus, Kuala Pilah yang turut melibatkan tiga orang kanak-kanak. Bagaimanapun ia dinafikan berlaku di kawasan tersebut.

KUALA PILAH: Polis Daerah Kuala Pilah menafikan mesej tular berhubung nahas sebuah kereta yang membabitkan seorang wanita dalam keadaan parah dan kanak-kanak yang dikatakan berlaku di daerah ini.

Ketua Polis daerah itu, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, hasil semakan, kejadian nahas itu tidak berlaku di Bukit Putus seperti yang ditularkan di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Untuk makluman, setakat ini tidak ada laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan kami juga membuat semakan berhubung lokasi namun tidak berlaku seperti yang ditularkan.

“Kami sahkan kes ini tidak berlaku di Kuala Pilah dan berkemungkinan berlaku di negeri lain. Lokasi tempat kejadian dipercayai berdekatan susur Sungai Choh Hulu Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat berhubung kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Turut terakam dalam video itu ialah keadaan seorang wanita dalam keadaan cedera parah serta masih bernyawa di dalam longkang di tebing jalan.

Selain itu, turut ditularkan terdapat gambar tiga kanak-kanak selain audio seorang lelaki yang meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris kanak-kanak tersebut.-UTUSAN.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN