PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dianggap tidak mempunyai modal untuk memainkan peranan semak dan imbang jika terus membangkitkan sentimen hubungan DAP dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, titik persamaan yang mengikat hubungan antara semua parti bukan sahaja antara DAP dan UMNO, tetapi untuk menyelesaikan masalah rakyat terutamanya tentang isu ekonomi dan kos sara hidup.
Justeru katanya, ia menjadi fokus kerajaan hari ini kerana hubungan semua parti adalah progresif untuk menyelesaikan isu rakyat.
“Jadi, apa sahaja sentimen (hubungan antara DAP dan UMNO) itu tidak patut, (seperti) tidak ada modal lain. Mereka menunjukkan alternatif tidak baik kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PN yang dilihat berulang kali memainkan sentimen hubungan antara DAP dan BN khususnya UMNO.
Sementara itu, Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, kerajaan perpaduan menyaksikan parti-parti politik yang mendukungnya sudah tentu bertolak ansur untuk menjalinkan kerjasama antara satu sama lain.
Katanya, cabaran itu perlu diakui besar, namun ia mengambil masa dalam membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Memang ada orang tak puas hati, musuh politik mengacau dan itu memang berlaku tetapi yang pentingnya isu-isu sensitif seperti kaum, agama dan amalan hidup tidak dibangkitkan.
“Dasar kita tidak (boleh lihat) dalam tempoh dua tiga bulan sahaja, kadangkala sampai dua tahun baru (lihat), sebab itu tempoh Parlimen sampai lima tahun,” katanya. – UTUSAN










