Penolong jurutera MBK tidak mengaku terima suapan RM2,000 - Utusan Malaysia

Penolong jurutera MBK tidak mengaku terima suapan RM2,000

MOHD. YUSRIZAL Md. Ledza (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua tuduhan menerima suapan RM2,000 pada Mac 2022 di Kuantan, Pahang. - FOTO/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua tuduhan menerima suapan RM2,000 pada Mac tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Yusrizal Md. Ledza, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM1,000 daripada wanita berusia 33 tahun ketika sedang menjawat jawatan penolong jurutera di MBK.

Pembayaran itu didakwa dipindahkan secara dalam talian ke dalam akaun miliknya sedangkan tertuduh mengetahui bahawa wanita terbabit mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Temerloh pada 7 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita sama di tempat sama pada 23 Mac tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raf’ah Izzati Abdul Mutalif, tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding tersebut, Raf’ah Izzati menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, namun tertuduh membuat rayuan agar jaminannya dikurangkan atas alasan menyara keluarga termasuk ayahnya yang berusia 66 tahun.

Mahkamah membenarkan Mohd. Yusrizal dijamin RM9,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Cawangan Temerloh sebulan sekali bermula Februari sehingga kes bicara selesai dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa jika ada.

Kes disebut semula 13 Februari depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya