Peniaga Thai dominasi Padang Besar - Utusan Malaysia

Peniaga Thai dominasi Padang Besar

PENIAGA tempatan bimbang jika Padang Besar terus didominasi oleh peniaga warga Thailand.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Isu kewujudan peniaga Thailand yang mengaut keuntungan di sekitar kawasan arked niaga Padang Besar berlarutan sejak berpuluh tahun lalu dan turut memberi kesan kepada peniaga tempatan.

Malah, sejak kebelakangan ini, kebanyakan peniaga tempatan di kawasan lokasi tumpuan pelancong itu juga mendakwa semakin bimbang dengan dominasi peniaga Thailand di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Zainal, 45, berkata, terdapat beberapa pemilik premis sekitar Padang Besar dikenal pasti cuba mengambil kesempatan dengan menyewakan gerai mereka kepada peniaga Thailand bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.

“Peniaga Thailand biasanya tidak kisah mengeluarkan modal yang besar dan sanggup menyewa gerai-gerai di kawasan Padang Besar dengan harga tinggi pada setiap bulan. Disebabkan itu, mereka boleh kenakan harga sesuka hati khususnya kepada pelancong luar dan mampu untuk membayar sewa yang tinggi itu,” katanya.

KESAN

Mengulas lanjut, Zainal berkata, situasi yang berlaku itu juga sekali gus turut memberi kesan kepada peniaga tempatan untuk bersaing bagi memasarkan produk masing-masing yang kebanyakannya diperolehi dari Thailand.

Katanya, masyarakat tempatan sememangnya menyedari peluang mencari rezeki di Padang Besar yang merupakan ‘lubuk emas’ selama ini namun mereka berdepan kesukaran untuk bersaing dengan peniaga dari negara jiran itu.

“Peniaga-peniaga dari Thailand ini sememangnya sudah lama menguasai perniagaan di Padang Besar dan anak tempatan yang ingin berniaga di sini pastinya tidak mampu bersaing dengan mereka.

“Disebabkan itu, tindakan sesetengah peniaga tempatan yang mengambil kesempatan menyewakan premis mereka kepada peniaga Thailand adalah sangat tidak wajar kerana telah menutup peluang bagi anak tempatan untuk berniaga,” katanya.

Tambahnya, walaupun isu ini sudah berlarutan berpuluh tahun, namun kerajaan negeri Perlis dan pihak berwajib perlu berusaha bagi mencari penyelesaian yang berkesan dalam membantu peniaga tempatan di kawasan itu.

“Perlis kini semakin menjadi tumpuan pelancong, jadi langkah lebih drastik perlu diambil agar rakyat tempatan mendapat limpahan manfaat dan bukannya hasil kita dibawa keluar ke negara jiran,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN