Pengurusan rayuan kes rasuah Ahmad Zahid 17 Feb. - Utusan Malaysia

Pengurusan rayuan kes rasuah Ahmad Zahid 17 Feb.

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Februari ini.

Ia bagi membolehkan pihak pembelaan yang dinamakan sebagai responden meneliti rekod rayuan.

Sumber rapat pendakwaan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media hari ini. Peguam bela, Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengesahkan perkara tersebut. 

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan.

Mohd. Yazid dipetik berkata, selepas mempertimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN