RANTAU PANJANG: Hujan lebat sepanjang hari sejak kelmarin menyebabkan penduduk di Kampung Baroh Pial, di sini bimbang akan berlaku banjir buruk lagi.
Seorang penduduk, Kamarulzaman Hassan, 51, berkata, kesan banjir pada Disember lalu dan terburuk dalam tempoh 40 tahun, menyebabkan dia dan ahli keluarga belum habis berkemas dan jika berlaku sekali lagi ia `memenatkan’.
Ketika banjir bulan lalu, dia dan ahli keluarga terpaksa menyelam dan berenang untuk keluar menyelamatkan diri melalui tingkap rumah.
“Ketika itu air naik mendadak menyebabkan kami terperangkap di tingkat atas rumah,” katanya ketika ditemui semalam.
Justeru, menurutnya, melihat hujan yang belum berhenti, dia tidak tenteram.
“Kami sekeluarga sudah serik jika banjir melanda sekali lagi. Banyak harta benda musnah. Banjir lalu, saya hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Kamarulzaman berkata, dia kerugian RM10,000 selepas semua peralatan elektrik, perabot dan empat buah motosikal ditenggelami banjir.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tursina Usman Adami, 39, berharap agar banjir tidak berulang walaupun Monson Timur Laut belum tamat.
Katanya, penat ketika mengharungi bah bulan lalu belum habis jadi jika sekali lagi dilanda banjir dia sudah tiada kudrat.
“Orang yang pernah berdepan banjir sahaja tahu macam mana penat membersihkan rumah,” katanya.- UTUSAN










