PDRM Cakna Syariah inisiatif lahir pegawai polis berintegriti - Utusan Malaysia

PDRM Cakna Syariah inisiatif lahir pegawai polis berintegriti

PENGASAS Bedaie, Muhammad Amar Mirza Abd. Kadir Jailani (dua dari kanan) menyampikan cenderahati kepada Ramli Mohamed Yoosuf yang hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup Program PDRM Cakna Syariah Kontinjen Pahang Tahun 2023, di Dewan IT, Kompleks Logistik PDRM Alor Akar di Kuantan, Pahang. - FOTO/ NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Buat julung kalinya BeDaie, sebuah syarikat platform madrasah digital (epondok) memperkenalkan program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cakna Syariah sebagai inisiatif melahirkan penjawat awam dan pegawai polis yang berintegriti.

Seramai 50 peserta terdiri daripada Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), pegawai kanan polis serta pegawai rendah polis dari seluruh negeri ini terpilih menyertai program tersebut yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, objektif program bertujuan melahirkan pegawai polis dan penjawat awam yang berkualiti serta mampu menjalankan tugas dengan berkesan, di samping memangkin tahap pengetahuan, kemahiran dan minat selaras dengan maqasid syariah.

“Saya difahamkan tujuan program ini diadakan adalah untuk memperluaskan lagi amalan berlandaskan syariah dan sunnah yang ditetapkan dalam ajaran Islam di kalangan warga PDRM Pahang.

“Adalah besar harapan saya agar objektif program ini dapat dicapai setelah melalui tempoh dua hari berprogram di Alor Akar, Kuantan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program PDRM Cakna Syariah Kontinjen Pahang Tahun 2023 di Dewan IT, Kompleks Logistik PDRM Alor Akar di sini.

Ramli berkata, ajaran hukum syariah dan amalan sunnah yang disampaikan boleh diamalkan ketika bertugas, batas pergaulan dan aurat antara lelaki dan wanita, etika pemakaian dan adab-adab.

“Peserta sudah didedahkan dengan dua modul patuh syariah iaitu Modul Safinatun Najah dan Modul Itqan. Selain itu turut sediakan Perbincangan Tambahan Khas.

“Saya berharap agar semua peserta yang terlibat dengan program ini dapat mengaplikasikan sebaik mungkin apa yang telah diterima dan difahami bagi membantu dan mengisi jatidiri dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Saya yakin, setiap apa yang peserta telah pelajari dan perolehi sepanjang tempoh program ini sedikit sebanyak akan menjadi titik tolak kepada permulaan dalam menjadi seorang pegawai dan penjawat awam yang berintegriti dan disegani,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan tentang objektif penubuhan BAKA dalam membentuk warga PDRM yang berakhlak, profesional, dan berhemah di samping meningkatkan mutu disiplin berlandaskan etika kerja yang murni dan cemerlang.

“Visi penubuhan BAKA adalah untuk menjadi agensi penguatkuasa utama yang berintegriti, kompeten, dan komited untuk bekerja dengan masyarakat, melalui misinya dengan menerapkan budaya kerja sebagai ibadah dan amanah berasaskan ajaran Islam yang sempurna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.